- Iklan -
Berita

Jika ini bukan amaran akhir untuk Umno, saya tidak tahu apa lagi, kata Zafrul

Pemimpin Umno Selangor itu berkata parti itu kini berdepan dengan hakikat pedih ditolak oleh orang Melayu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bendahari Umno Selangor Tengku Zafrul Aziz (tengah) menunaikan solat Jumaat bersama jemaah lain sebelum kempen pilihan raya negeri pada 11 Ogos. Gambar: Facebook
Bendahari Umno Selangor Tengku Zafrul Aziz (tengah) menunaikan solat Jumaat bersama jemaah lain sebelum kempen pilihan raya negeri pada 11 Ogos. Gambar: Facebook

Bendahari Umno Selangor Tengku Zafrul Aziz mengakui parti itu ditolak pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, menggesa kepimpinan mendapatkan semula keyakinan rakyat dan bukannya mengejar "kuasa jangka masa pendek".

"Jika keputusan PRN ini bukan amaran akhir kepada soal survival parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak," kata Zafrul. 

Bekas menteri kewangan, yang digugurkan daripada menjadi calon di negeri itu meskipin spekulasi sebelum ini mengatakan bahawa beliau akan mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) berkata dua kerusi yang disandang Umno adalah realiti yang menyakitkan untuk menunjukkan parti itu "amat lemah" di Selangor.

Beliau berkata daripada dua kerusi yang dimenanginya, satu daripadanya Dusun Tua yang asalnya dimenangi DAP, manakala satu lagi, Sungai Air Tawar yang lebih mencerminkan kehebatan calon.

"PRN Selangor menyerlahkan seolah-olah semakin ramai pengundi Melayu di sesebuah kawasan, semakin susah Umno hendak menang," kata Zafrul.

Pada PRN hujung minggu lalu, Umno ditendang keluar di Kedah dan Terengganu, manakala hanya memenangi dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor dan satu kerusi di Kelantan. 

Parti itu hanya bersinar di Negeri Sembilan, memenangi 14 kerusi. 

Secara keseluruhan, Umno hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya, walaupun diberi laluan oleh PH untuk bertanding di kerusi campuran dan separa bandar.

Ia adalah prestasi terburuk parti itu di semua enam negeri walaupun bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi mencerminkan kerjasamanya di peringkat persekutuan. 

Kekalahan itu mencetuskan suara dari dalam Umno yang menggesa "perubahan" dalam parti, walaupun ramai yang berhenti mendesak Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai presiden.

Zahid memainkan peranan penting dalam membawa ahli Parlimen Umno menyokong pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tahun lepas, diikuti dengan gelombang penyingkiran pengkritiknya daripada parti, termasuk bekas pengerusi Umno Selangor Noh Omar yang dipecat bersama bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.

Zafrul berkata ahli Umno kecewa dengan kekalahan terbaru itu.

"Umno bukan milik kelompok mana-mana. Umno ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu, atas sebab itu Umno tidak boleh terlalu radikal. 

“Umno perlu meraikan pandangan dan pandangan ini perlu diurus dengan baik agar Umno terus subur menjadi sebuah parti tempat orang Melayu berteduh.

"Atas dasar itu saya berharap kepimpinan parti perlu bangkit dan memperbetulkan keadaan parti yang bukan sekadar ingin mengejar kuasa jangka masa pendek tetapi usaha yang bersungguh untuk kembali diyakini rakyat dan juga akar umbi parti," tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.