- Iklan -
Berita

Bos RTM diserang penyokong PH, disalahkan kerana keputusan PRN 6 negeri

Suhaimi Sulaiman dipersalahkan kerana tidak memiliki kemahuan politik untuk menggambarkan kerajaan sebagai pentadbiran yang berjaya.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Penyiaran RTM Suhaimi Sulaiman bercakap dalam wawancara dengan MalaysiaNow di pejabatnya di Kuala Lumpur, 9 Mei.
Ketua Pengarah Penyiaran RTM Suhaimi Sulaiman bercakap dalam wawancara dengan MalaysiaNow di pejabatnya di Kuala Lumpur, 9 Mei.

Stesen penyiaran tertua negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi sasaran serangan penyokong kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tamat Sabtu lalu, yang menyaksikan sokongan majoriti pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) bertambah kuat.

Sejak Ahad, nama Ketua Pengarah Penyiaran Suhaimi Sulaiman “diseru” di media sosial Twitter yang  disifatkan sebagai kubu penyokong Pakatan Harapan (PH) dengan ramai  mempersoalkan wartawan veteran itu dalam memainkan fungsinya untuk mempromosikan jenama Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ianya bermula apabila seorang pengguna membandingkan kekerapan siaran program agama di bawah kerajaan Anwar dengan zaman pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang tampil membaca doa secara sendiri pada siaran waktu-waktu perdana di saluran TV milik RTM.

“Aku tak mahu salahkan Fahmi tapi nak salahkan siapa b***,” tulis @lokmanhakimrml.

Susulan itu, beberapa hantaran balas dimuat naik menyerang Suhaimi sekaligus menyasarkan beliau sebagai pihak yang sepatutnya memikul tanggungjawab dalam hal itu khususnya bagi menyebarkan propaganda kerajaan.

Seorang pengguna Twitter dengan nama @malaysia_baharu menyelar bekas pembaca berita itu tidak memiliki kemahuan politik untuk melihat kerajaan campuran sebagai sebuah kerajaan yang berjaya di mata dan hati rakyat.

“Ada tak sejak PMX naik, RTM buat dokumentari tentang PMX biar rakyat betul-betul kenal PMX?

“Ada tak lagu-lagu patriotik disiarkan sentiasa untuk terangkan apa madani? Ada info ringkas, mudah untuk rakyat faham madani?” tulisnya.

Atas sebab itu, dia berpendirian kedudukan Suhaimi tidak bertepatan sebagai peneraju di RTM sebaliknya lebih layak berada di kedudukan yang lebih rendah.

“Dia bagus, tapi bukan sebagai CEO RTM. (Dia) kena bawah pada itu,” tulisnya sambil turut menyalahkan kerajaan kerana melantik individu yang salah untuk tugas tersebut.

Keputusan PRN pada Sabtu menyaksikan PN berjaya mengekalkan penguasaannya di Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan majoriti lebih besar.

Sementara di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, walaupun masih dikuasai gabungan PH dan Barisan Nasional (BN), PN berjaya memenangi sejumlah kerusi yang besar.

Di Selangor, PN berjaya mendapat 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menafikan majoriti dua pertiga gabungan PH-BN.

Di Negeri Sembilan, PN berjaya merampas lima kerusi DUN dan di Pulau Pinang mereka berjaya mendapat 11 kerusi DUN.

Suhaimi, 60, yang juga bekas personaliti TV dan penyiaran dilantik menerajui RTM berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.

Dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow pada Mei, Suhaimi berkata beliau menerima panggilan telefon daripada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang menawarkannya untuk berkhidmat di jabatan penyiaran tersebut.

Ketika itu, beliau sudah bersara daripada dunia kewartawanan.

Suhaimi dalam satu balasan ringkas di laman Twitter meminta pengkritik itu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan “political will” sebagai peneraju di RTM?

Katanya, sebagai ketua pengarah jabatan penyiaran itu, beliau akan memastikan RTM akan mencapai jumlah maksimum dalam menyampaikan kisah-kisah yang membina dan membangun masyarakat.

Tambahnya, ini termasuklah menerusi sekurang-kurangnya 30 kali siaran kapsul atau video pendek, rancangan bual bicara, berita dan pelbagai tayangan lain.

“Jangan cakap sesuka hati sahaja,” tulisnya pada Ahad.

Beliau turut mempelawa pengkritik itu hadir ke pejabatnya di Angkasapuri, Kuala Lumpur untuk diberikan penjelasan lebih lanjut mengenai hasil kerjanya selama lapan bulan di situ.

“Saya pantang orang kutuk tanpa usul periksa dan tanpa fakta.”

Sementara itu, pelbagai reaksi timbul mempertahankan Suhaimi daripada dakwaan tersebut.

Rata-rata mereka secara terbuka memberikan pandangan berbeza dengan apa yang dikatakan oleh pengkritik.

Menurut mereka, pengalaman menonton RTM kini amat berbeza meskipun banyak aspek yang boleh ditambah baik oleh Suhaimi dan pasukannya.

“Saya bukan peminat RTM macam di zaman kecil dahulu. Tapi, kebelakangan ini saya perasan setiap siaran RTM itu sangat menarik.

“Informasi lengkap , siaran tidak sendu macam sebelum ini. Mengagumkan!” tulis @AlRashidZulkifli.

“Saya duduk di Edinburgh, selalu tengok RTMKlik,” kata Suhana Samsudin merujuk kepada aplikasi dalam talian stesen TV tersebut.