- Iklan -
Berita

Keputusan PRN gambarkan BN-PH tidak relevan di Terengganu

Walaupun BN pernah menjadi blok dominan di negeri itu, ia sangat ditolak dalam kekalahan berpunca daripada faktor seperti rasa tidak senang terhadap kerjasamanya dengan PH dan sikap 'abang besar' Umno.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Bendera Barisan Nasional (BN) dan PAS menghiasi sebuah jejantas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu bagi menghangatkan lagi suasana kempen di Kampung Bukit Guntung, 2 Ogos.
Bendera Barisan Nasional (BN) dan PAS menghiasi sebuah jejantas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu bagi menghangatkan lagi suasana kempen di Kampung Bukit Guntung, 2 Ogos.

Kejayaan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) memberi gambaran penolakan besar-besaran pengundi ke atas Barisan Nasional (BN) sekali gus mengakhiri penguasaan parti itu di Terengganu.

Selain itu, ia juga menunjukkan rakyat di negeri itu menolak formula kerjasama kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-BN di peringkat pusat untuk dibawa ke negeri Pantai Timur itu.

Walaupun BN pernah menjadi satu blok politik yang kuat hingga dapat menguasai Terengganu dengan kemenangan 28 kerusi DUN semasa Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada 2004, prestasi gabungan itu terus merosot dalam setiap kali pilihan raya di negeri itu.

Keputusan PRN pada Sabtu menunjukkan BN bukan sahaja tidak berjaya mengekalkan kubu kuat mereka malah kalah di semua kerusi DUN.

Kerjasama kali pertama BN dan PH juga masih gagal menembusi pengaruh dan kekuatan PAS di Terengganu.

Seorang pemimpin akar umbi Umno mengakui keputusan PRN menunjukkan penolakan besar-besaran pengundi ke atas parti itu.

“Ia adalah kekalahan yang sangat teruk, kerana kita bukan kalah sekali tapi tiga kali sejak PRU14, PRU15 dan kali ini dalam PRN.

“Dan kekalahan kita bukan kalah tipis tapi tidak ada satu pun kerusi yang dimenangi Umno di Terengganu,” katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Tanpa berselindung, pemimpin itu menegaskan rombakan besar-besaran harus dilakukan dalam barisan kepimpinannya bagi memulihkan semula imej BN.

Katanya kepimpinan lama termasuk Pengerusi BN Terengganu Ahmad Said harus keluar dengan memberi laluan kepada pemimpin baru.

“Ahmad Said kena berundur, beliau tidak ada alasan lagi dengan kekalahan teruk di hadapi Umno,” katanya.

Nama besar Umno tumbang

BN cuba menembus kembali kekalahan mereka dalam PRU15 tapi berdepan kekalahan lebih teruk apabila tidak memenangi satu pun kerusi DUN.

Keputusan PRN pada Sabtu menyaksikan BN kalah dengan perbezaan majoriti besar di kebanyakan kerusi.

Selain itu Umno juga gagal mempertahankan kubu kuat mereka seperti di kerusi Telemung, Kijal dan Seberang Takir dan Hulu Besut.

Ia turut menyaksikan kekalahan nama besar dalam Umno negeri seperti Ahmad dan bekas menteri besar Ahmad Razif Abd Rahman.

Kerusi DUN Kijal yang disandang Ahmad sejak dari tahun 1990-an itu terlepas di tangan PN dengan perbezaan 3,758 undi.

Calon PN, Razali Idris yang juga merupakan pengerusi Bersatu Terengganu meraih 13,403 undi menumbangkan Ahmad, wakil rakyat selama sembilan penggal di kerusi tersebut.

Hanya Telemung sahaja menunjukkan berlaku persaingan sengit di mana menjadi satu-satunya kerusi BN kalah tipis dengan hanya perbezaan 295 undi.

BN-PH juga gagal menang di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijalankan secara serentak biarpun parti itulah pada awalnya memfailkan petisyen membatalkan kemenangan PAS di kerusi tersebut atas alasan wujud unsur sogokan untuk meraih sokongan pengundi.

Penyandang kerusi itu, Ahmad Amzad Hashim menang semula di kerusi tersebut dengan  majoriti 47, 266, lebih besar berbanding PRU15.

Mengulas lanjut pemimpin itu percaya antara punca kekalahan BN kerana isu dalaman parti di peringkat pusat dan negeri.

“Isu dalaman di peringkat Umno pusat berkait dengan kekecewaan akar umbi terhadap kepimpinan presiden Ahmad Zahid Hamidi.

“Akar umbi sebenarnya turut menolak kerjasama antara PH dan DAP, “ katanya.

Pemilihan calon BN-PH bermasalah

Di peringkat kepimpinan negeri pula, akar umbi tidak berpuas hati dengan pemilihan calon yang sebelum ini memang ditolak pengundi.

Konflik itu akhirnya memberi kesan bukan sahaja kepada akar umbi malah daripada pengundi tegar dan pengundi atas pagar yang kecewa dengan BN, kata pemimpin tersebut.

Sentimen penolakan akar umbi juga pernah didedahkan Penganalisis Politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Yusri Ibrahim yang berkata jumlah itu cukup besar dan signifikan.

Antara faktor kekalahan lain,pemimpin itu berkata BN masih gagal untuk mendapat sokongan daripada pengundi dalam kalangan anak muda di negeri tersebut.

"Kalau kita lihat keputusan pengundian, Sabtu lepas undi BN sebenarnya paling kurang undi di saluran 4,5 dan 6 ini," katanya.

Sementara itu Pengerusi PH Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pula menyifatkan kekalahan memalukan gabungan dipimpinnya dan BN kerana Umno masih lagi dengan sikap “abang besar” dan tidak menghormati sesama rakan gabungan.

Beliau berkata sikap abang besar sudah lama berlalu dan mentaliti itu perlu dikikis jika gabungan itu mahu bangkit semula dalam pilihan raya akan datang.

Selain itu katanya kekalahan gabungan itu juga kerana salah strategi daripada meletakkan calon dan kawasan yang ditandingi.

Katanya, walaupun Terengganu merupakan kubu kuat PAS namun pihaknya optimis dapat memenangi beberapa kerusi jika melakukan strategi yang betul dengan perancangan yang baik.

"Analoginya adalah sebuah hospital besar walaupun ramai doktornya tidak semestinya mempunyai pakar terbaik yang dapat mengubati penyakit tertentu.

“Hospital itu tetap memerlukan kepakaran khusus yang dimiliki pusat perubatan yang lebih kecil tetapi mempunyai pakar yang boleh merawat kondisi tersebut.

“Di sinilah perlunya untuk mengakui kelebihan tertentu rakan gabungan lain dalam menghadapi pengundi di kawasan bandar serta pengundi campuran dan jangan mengamalkan sikap abang besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Kamarul juga mendedahkan pada asalnya BN bersetuju bahawa kekuatan PH di kawasan bandar  seperti di DUN Bandar dan Chukai namun ia tidak dilaksanakan semasa rundingan pembahagian kerusi dalam PRN.

Katanya ia adalah kesilapan paling besar sekali dan gabungan itu kehilangan peluang menang.

"Contoh paling dekat dan relevan adalah  pilihan calon yang baik adalah kerusi ‘urban’ dan campuran di kerusi DUN Kota Lama dari Amanah berjaya memenangi kerusi tersebut yang didominasi PAS selama lebih 30 tahun.

"Biarpun calon Dr Hafidzah Mustaqim bukan merupakan calon tempatan tapi dengan strategi yang baik PH  boleh menang di kerusi DUN bawah Parlimen Kota Baru itu.

"Dan jika perkara sama dilakukan di Kuala Terengganu tidak mustahil kejayaan sama boleh dicapai," katanya merujuk kepada satu-satunya kerusi yang dimenangi PH di Kelantan.