- Iklan -
Berita

Mahkamah bebaskan Muhyiddin dari 4 pertuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta

Bekas perdana menteri itu dibebaskan daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 15 Ogos.
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 15 Ogos.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas perdana menteri Muhyiddin daripada empat pertuduhan guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur, cacat dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

"Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan berkenaan. Dengan ini, pemohon dilepas dan dibebaskan," katanya.

Jamil juga berkata mahkamah mempunyai kuasa untuk mengetepikan atau membatalkan pertuduhan dan menggantung kes selama-lamanya.

"Mahkamah mendapati Muhyiddin dituduh dengan suatu kesalahan yang tidak diperuntukkan mengikut undang-undang. Keempat-empat pertuduhan itu cacat kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

"Pertuduhan yang tidak meletakkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM adalah salah laksana keadilan. Empat kesalahan itu juga tidak mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ)," katanya.

Sementara itu, Muhyddin ketika ditemui media di luar mahkamah berkata beliau sentiasa percaya bahawa pertuduhan terhadapnya bermotifkan politik.

"Sebenarnya saya tidak lakukan apa-apa kesalahan pun baik dari sudut undang-undang SPRM ataupun lain-lain.

"Saya bersyukur dan saya boleh nyatakan kita akan terus berusaha untuk menjelaskan kepada umum tentang apa yang dibuat oleh pihak tertentu untuk menganiaya saya, dan hari ini terbukti itu adalah tuduhan-tuduhan palsu."

Dalam pada itu, peguam utamanya Hisyam Teh Poh Teik memuji penghakiman yang dibuat dan menyifatkannya sebagai "adil serta saksama". 

"Pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin adalah berniat jahat dari segi undang-undang, sangat cacat, tidak boleh dibawa ke mahkamah dan satu penyalahgunaan proses."

Seorang lagi peguam bela K Kumaraendran berkata Muhyiddin jelas tidak bersalah sejak awal lagi.

"Pembebasan beliau mengukuhkan anggapan tidak bersalah sejak awal." 

Beliau berkata pihak pendakwaan sepatutnya mempertimbangkan aspek perundangan terlebih dulu sebelum membuat keputusan untuk melakukan pertuduhan. 

"Saya tidak tahu apa agenda mereka sewaktu mereka mula-mula mendakwanya," tambahnya.

Muhyiddin, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti tersebut.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.