- Iklan -
Berita

Kelantan mahu perkukuh hubungan dengan kerajaan Persekutuan

Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud berkata ia penting untuk manfaat semua khususnya rakyat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Adun Meranti Mohd Nassuruddin Daud mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar Kelantan di Kota Bharu, 15 Ogos. Gambar: Bernama
Adun Meranti Mohd Nassuruddin Daud mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar Kelantan di Kota Bharu, 15 Ogos. Gambar: Bernama

Kerajaan Kelantan akan mengambil pendekatan matang bagi memperkukuh hubungan dengan kerajaan Persekutuan atas semangat federalisme demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Kelantan yang baharu dilantik Mohd Nassuruddin Daud berkata hubungan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang kukuh penting untuk manfaat semua khususnya rakyat.

"Selain itu, kita juga akan teruskan legasi membangun bersama Islam (MBI)… dasar ini terbukti meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran dan kemakmuran negeri serta kebajikan rakyat.

"Turut menjadi keutamaan saya ialah untuk menjadi menteri besar kepada seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira latar belakang kaum," katanya.

Nassuruddin berkata demikian pada sidang media pertama beliau sebagai Menteri Besar Kelantan di bangunan MABNA-MBI, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya Mohamed Fadzli Hassan.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meranti, meletakkan ibu jari pada mesin perakam waktu pada 8.30 pagi ini bagi memulakan tugas hari pertamanya sebagai menteri besar. 

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan Pejabat Menteri Besar sebelum memulakan tugas.

Nassuruddin, yang merupakan menteri besar Kelantan ketiga selepas PAS mengambil alih Kelantan pada 1990, berkata barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang telah diperkenankan dan dilantik Sultan Kelantan adalah saf kepimpinan seimbang dan terbaik daripada pelbagai bidang khususnya ulama, teknokrat dan profesional.

"Apa yang penting konsep musyawarah merupakan asas kekuatan pada kerajaan ini seperti yang diamalkan oleh pentadbiran sebelum ini. Saya harap semua pihak dapat memberikan sokongan untuk meneruskan legasi MBI," katanya.

Semalam, Nassuruddin mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian. Sembilan Adun turut mengangkat sumpah sebagai Exco Kelantan.

Beliau berkata portfolio kesemua Exco berkenaan akan disusun dan diumumkan dalam masa terdekat.