- Iklan -
Berita

Peguam gesa media ambil tindakan undang-undang jika disekat

Rafique Rashid mempersoalkan kebebasan bersuara di Malaysia berikutan rentetan sekatan baru-baru ini.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa laman sesawang yang disekat baru-baru ini telah disahkan berada di bawah sekatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Beberapa laman sesawang yang disekat baru-baru ini telah disahkan berada di bawah sekatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Seorang peguam menyeru tindakan undang-undang diambil ke atas kerajaan selepas beberapa portal berita dan laman media sosial dilaporkan disekat tanpa diberikan penjelasan sejak beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri berlangsung.

Terbaru, akaun TikTok TV Pertiwi dilaporkan disekat dan tidak boleh diakses selain hantaran video-video yang pernah dimuat naik sebelum ini tidak dapat dikesan dipercayai sudah dipadam oleh pihak ketiga.

Peguam, Rafique Rashid menegaskan tindakan yang mesti dan wajib dilakukan oleh pihak yang merasakan mereka sudah menjadi mangsa sekatan oleh pihak tertentu adalah membuat semakan kehakiman di mahkamah.

Katanya, dengan cara ini, mereka boleh menentang tindakan yang disifatkan tidak adil itu terhadap kerja-kerja mereka.

Tambahnya, meskipun wujud isu-isu yang didakwa melanggar mana-mana peraturan atau sensitiviti mahupun undang-undang, satu siasatan mesti dilakukan dan bukannya membuat sekatan ke atas platform tersebut.

“Apa yang merisaukan adalah sikap endah tak endah oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi fadzil dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam perkara ini.

“Apa juga yang merisaukan sehingga kini adalah kelihatan bahawa tindakan yang dilakukan adalah tindakan yang unilateral ataupun menghukum tanpa memberikan hak untuk beri bukan sahaja pendapat tetapi juga untuk mereka membela diri,” katanya kepada MalaysiaNow.

Semalam, MalaysiaNow melaporkan akaun TikTok portal TV Pertiwi disekat secara kekal hari disyaki selepas mengulas isu-isu semasa dan mengundang penganalisis politik, Ridhuan Tee Abdullah sebagai ahli panel program mereka.

SKMM sebelum ini tidak memberikan sebarang maklum balas kepada sekatan terhadap portal berita MalaysiaNow dan UtusanTV.

Difahamkan, sekatan terhadap UtusanTV ditarik semula sebelum PRN pada Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Rafique meluahkan kekesalan dengan apa yang berlaku terhadap kebebasan bersuara di Malaysia mengatakan tindakan menyekat portal berita dan media sosial segelintir pihak hanya menjejaskan hak rakyat dalam menerima dan memberikan pendapat masing-masing di sebuah negara yang demokratik.

“Di mana ruang untuk mereka ini mengkritik dasar kerajaan?

“Bukankah kritikan itu dibenarkan selagi mana ia dilakukan dengan menurut lunas undang-undang.”

Perkembangan itu, kata Rafique jelas menunjukkan bahawa kerajaan sedang menghantar satu amaran kepada para pengamal media dan individu yang aktif di media sosial iaitu jangan mengkritik kerajaan.

Menurut Rafique lagi, ianya seolah-olah berbunyi: “Kalau kritik kerajaan atau mempunyai pendapat yang berbeza dengan kerajaan atau tak sehaluan dengan pendapat kerajaan, maka inilah padahnya.”

Lambat laun, katanya lagi, Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menuju ke arah pentadbiran ala “police state" atau negara polis.

Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata pihaknya tidak pernah memberikan arahan kepada mana-mana pihak untuk menyekat laman portal berita tempatan dan akaun media sosial mana-mana individu termasuk ahli politik.

Menurut Rafique, jawapan dan kenyataan yang diberikan oleh menteri itu dan pihak kerajaan menjadi sesuatu yang lucu serta janggal kerana semua yang berlaku kini di bawah pemerintahan oleh sebuah kerajaan yang dahulunya menjadi “juara” dalam memperjuangkan kebebasan bersuara.

“Sebelum masuk kerajaan memekik dan melolong bahawa reformasi adalah satu kebebasan bersuara. Reformasi adalah kebebasan media.

“Pihak yang dulu perjuangkan, sekarang ini sebenarnya yang nak kenakan undang-undang sebegini. Itulah yang paling lucu dan janggal sekali.” 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.