- Iklan -
Berita

Serang Sanusi berlebihan punca Saifuddin gagal ketuai misi tawan Kedah, kata pemerhati

Zaini Hassan berkata PH juga salah membaca sentimen rakyat terhadap menteri besar yang popular itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bercakap mengenai Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan isu unsur nadir bumi pada sidang media di Alor Setar, 3 Ogos. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bercakap mengenai Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan isu unsur nadir bumi pada sidang media di Alor Setar, 3 Ogos. Gambar: Bernama

Tindakan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyerang keperibadian Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor secara berlebihan dilihat antara punca mengapa gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) gagal menawan negeri itu selepas hanya memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kata pemerhati.

Bekas pengarang kanan Utusan Malaysia Zaini Hassan berkata tindakan Saifuddin yang juga setiausaha PH itu menyerang Sanusi dilihat sebagai tidak profesional.

“Beliau juga banyak mendedahkan dokumen-dokumen sulit KDN mengenai isu elemen nadir bumi (REE) dan lain-lain.

“Ramai pihak termasuk 'pegawai-pegawai kerajaan' menganggap apa yang dilakukan oleh Saifuddin tidak kena dengan statusnya sebagai menteri. 

“Menggunakan jentera kerajaan secara keterlaluan sebagai intimidasi kepada musuh politik juga antara faktor kekalahan teruk PH," katanya kepada MalaysiaNow. 

 Zaini merujuk kepada tindakan Saifuddin membuat pendedahan isu REE sebagai menteri semasa kempen.

Katanya, PH dan Saifuddin melakukan kesalahan dalam membaca sentimen rakyat Kedah terhadap Sanusi. 

Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, sekali gus melebarkan pengaruh parti tersebut di Kedah.

Susulan itu, Sanusi yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri selesai mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah pada Isnin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan Saifuddin bagi mengetuai usaha PH-BN untuk menawan Kedah.

Sepanjang kempen, Sanusi menjadi sasaran hampir semua pemimpin utama PH dan BN sehinggakan ramai menteri Kabinet berulang-alik untuk berkempen di Kedah selain Saifuddin yang berkampung di negeri jelapang padi itu.

Isu yang dibangkitkan termasuklah rumah banglo milik abang Sanusi, perlombongan REE, dan projek Kedah Aerotropolis yang mana Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) menjadi satu komponen kritikal. Sentimen kemiskinan negeri Kedah juga antara yang dimainkan.

Saifuddin mengetuai kempen memburukkan Sanusi dalam isu REE, manakala Menteri Ekonomi Rafizi Ramli kelihatan banyak menumpukan kempen menentang usaha pengarah pilihan raya PN itu menjadikan KXP satu realiti.

Isu REE tersebut bagaimanapun memakan diri apabila Sanusi mendedahkan tindakan Anwar membawa taikun Indonesia, Muhammad Riza Chalid bertemu Sultan Kedah pada tahun 2022.

Riza didedahkan menubuhkan syarikat perlombongan REE sehari sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada November 2022.

Sanusi turut didakwa di mahkamah mengikut Akta Hasutan, selepas ucapan beliau mengenai Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari disifatkan sebagai isu 3R-agama, kaum dan raja.

Sebelum pendakwaan, Sanusi ditahan oleh pihak polis pukul 3 pagi di sebuah hotel di ibu negara.

Zaini berkata, PH tidak boleh menganggap pengundi dan pemerhati politik sebagai “tidak mengerti apa-apa”.

“Itusatu kesilapan yang besar."

Dalam pada itu, Zaini berkata Umno menjadi liabiliti untuk PH bagi PRN kali ini.

"Protes itu kerana kepimpinan Umno, terutamanya Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mengotakan ikrar beliau pada perhimpunan agung Umno," katanya merujuk kepada ikrar 'No DAP, No Anwar' oleh timbalan perdana menteri itu.

“Ahli-ahli Umno mahu melihat Zahid melepaskan jawatan atas dua kekalahan teruk Umno dalam PRU15 dan PRN15 ini," katanya.