- Iklan -
Berita

Shah Alam banjir lagi

Beberapa keping gambar yang dimuat naik di media sosial menunjukkan beberapa kereta hampir ditenggelami air di Seksyen 13.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Beberapa keping gambar banjir yang dikongsi pengguna media sosial.
Beberapa keping gambar banjir yang dikongsi pengguna media sosial.

Hujan lebat petang tadi menyebabkan banjir kilat di beberapa bahagian di Shah Alam, dengan kawasan sekitar Seksyen 13 paling teruk terjejas selepas paras air di Sungai Damansara melepasi aras amaran.

Sehingga jam 6 petang tadi, laman sesawang info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras air di Sungai Damansara berada pada paras 5.59 meter melepasi aras amaran 5 meter. 

Gambar dan klip video kenderaan serta jalan yang ditenggelami air dimuat naik pengguna di platform media sosial.

Ini sekali gus mengimbau kembali kejadian banjir yang melanda beberapa negeri hampir dua tahun lalu, dengan Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi.

Seksyen 13, Shah Alam turut menjadi antara kawasan yang dilanda banjir pada penghujung 2021.

Banjir itu juga meninggalkan kesan kemusnahan di beberapa kawasan lain di Selangor seperti Hulu Langat dan Taman Sri Muda menyebabkan penduduk mengalami kerugian jutaan ringgit. 

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan penduduk Taman Sri Muda meneruskan saman terhadap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan syarikat milik kerajaan KDEB Waste Management Sdn Bhd, yang antara lain menuntut ganti rugi RM3.8 juta.