- Iklan -
Berita

1MDB akui tiada wang atau pelaburan selepas didenda RM15 juta, kata Zeti

Bekas gabenor bank pusat itu berkata BNM juga menolak permohonan 1MDB untuk meminjam dana daripada sumber luar pesisir kira-kira RM4.9 bilion.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 16 Ogos. Gambar: Bernama
Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 16 Ogos. Gambar: Bernama

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz hari memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengaku tidak mempunyai wang atau pelaburan selepas bank pusat itu mengenakan denda berjumlah RM15 juta terhadap syarikat berkenaan.

Zeti, 76, yang mendedahkan perkara itu, berkata kegagalan 1MDB mendapatkan kembali wang dan memberikan bukti mengenai status dana terbabit, menyebabkan ia dikompaun.

Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata 1MDB membayar kompaun tersebut pada 25 Mei 2016.

Beliau berkata demikian ketika disoal oleh peguam utama Najib Razak iaitu Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes bekas perdana menteri itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Shafee: Adakah 1MDB mendapatkan semula sebarang dana? 

Zeti: Tiada. Mereka (1MDB) memaklumkan kami bahawa wang itu telah diletakkan di luar negara untuk membayar hutang dan kami (BNM) kata kami boleh menerima alasan itu jika mereka memberikan dokumen yang berkaitan dan memaklumkan di mana wang itu diletak.

Bagaimanapun, beliau berkata 1MDB gagal memberikan butiran itu kerana ia tidak ada. 1MDB mengaku ia tidak mempunyai wang atau pelaburan.

Selain itu, Zeti memaklumkan mahkamah bahawa 1MDB telah memfailkan permohonan kepada BNM pada 2014 bagi meminta kebenaran BNM untuk meminjam dana daripada sumber luar pesisir sebanyak RM4.9 bilion. 

"Kami telah menolak permohonan ini kerana hutang mereka terlalu banyak. Mereka (1MDB) tidak gembira dan mengemukakan rayuan, bagaimanapun rayuan itu turut ditolak,” katanya.

Ketika Shafee menyoal sama ada 1MDB cuba merayu kepada Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Najib (berhubung pinjaman RM4.9 bilion itu), Zeti menjawab bahawa beliau tidak sedar. 

Shafee: Adakah Najib menghubungi BNM dan meminta ia menyemak semula keputusan itu?

Zeti: Tidak.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.