- Iklan -
Berita

Anwar nasihat Muhyiddin tumpu kes mahkamah bukannya desak letak jawatan

Perdana menteri berkata ketika ini kerajaan pimpinannya masih lagi menguasai dua pertiga kerusi Parlimen.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menumpukan pada kes mahkamahnya dan bukannya mendesak beliau meletak jawatan sebagai pemimpin nombor satu negara. 

Perdana menteri berkata ketika ini kerajaan pimpinannya masih lagi menguasai dua pertiga kerusi Parlimen.

“Kita kekal kemenangan kita, masih dapat dua pertiga majoriti ahli Parlimen, dia buat perkiraan apa, saya nasihatkan dia tumpu kes mahkamah,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MadanI serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi di Kuala Lumpur hari ini. 

Sebelum ini Muhyiddin mendesak Anwar dan Timbalannya Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini. 

Muhyiddin mendakwa kemenangan PN di kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik yang diterajui Anwar dan Ahmad Zahid. 

Dalam PRN baru-baru ini gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional menang di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan manakala PN mengekalkan kemenangan di Kedah, Kelantan dan Terengganu. 

Dalam pada itu Anwar menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak bersetuju dengan andaian bahawa pengundi Melayu dan anak muda mudah terpesong dengan hasutan kaum dan agama, pascakeputusan PRN baru-baru ini. 

Katanya beliau sedar, dasar Madani yang dibawa Kerajaan Perpaduan perlu mengambil masa untuk difahami rakyat dan ia merupakan satu cabaran agar jentera dan pimpinan parti bekerja lebih keras memaknai dan menterjemah konsep berkenaan sehingga ke akar umbi. 

“Ia mengambil masa, saya tak setuju semua pihak salahkan orang Melayu, menyalahkan kefahaman mereka bahawa mereka itu mudah terpengaruh dengan hasutan kaum dan agama,” katanya, ketika ditanya berhubung strategi kerajaan Madani yang dilihat tidak berkesan dalam menarik undi pengundi Melayu.

Perdana menteri berkata beliau juga telah membangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam berhubung peri pentingnya rakyat disantuni dengan lebih banyak berdasarkan konsep MADANI, menggunakan pendekatan hikmah dan kebijaksanaan. 

Mengenai hubungan kerjasama Kerajaan Perpaduan dengan tiga negeri dimenangi pembangkang pada PRN baru-baru ini, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata ia terpulang kepada negeri berkenaan.

“Itu terserah kepada sikap mereka, kalau mereka mahu bekerjasama ada kaedahnya bukan saja dari segi kenyataan juga tindakan. Saya nak pastikan semangat tata kelola itu betul, mahu wang untuk orang miskin, bagi orang miskin, jangan dialihkan ke lain,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.