- Iklan -
Berita

Pertuduhan Zahid akan gugur atau tidak, Bersatu gesa peguam negara beri penjelasan

Bersatu menyatakan wujud 'kebimbangan umum' ke atas 47 pertuduhan rasuah terhadap presiden Umno itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Negara Idrus Harun (kiri) digesa berterus terang sama ada pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid Hamidi (kanan) akan digugurkan ataupun tidak.
Peguam Negara Idrus Harun (kiri) digesa berterus terang sama ada pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid Hamidi (kanan) akan digugurkan ataupun tidak.

Bersatu menggesa Peguam Negara Idrus Harun segera menyatakan sama ada pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi akan digugurkan ataupun tidak, sehari selepas pejabatnya menafikan sebarang campur tangan politik atau tekanan dalam kes yang dibawa ke mahkamah setakat ini.

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional, menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Januari bagi menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya.  

Pihak pendakwaan kemudian berkata bahawa mereka m diarahkan oleh peguam negara untuk tidak membuat bantahan ke atas permohonan penangguhan perbicaraan sementara menunggu keputusan mengenai surat representasi.  

“Selepas melalui representasi yang panjang lebar dan mengandungi isu rumit, kami diarah untuk tidak membantah permohonan (penangguhan pendengaran) kerana pihak pendakwaan memerlukan masa yang munasabah untuk mempertimbangkan (representasi),” kata Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

Timbalan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif dalam satu kenyataan hari ini berkata perbicaraan hanya disambung semula bulan ini, dengan pihak pendakwaan berkata representasi itu masih dalam pertimbangan.

"Mengapa peguam negara masih tidak dapat memutuskannya? Kini timbul kebimbangan umum bahawa pertuduhan terhadap Zahid, yang sokongannya kritikal untuk survival kerajaan Anwar Ibrahim, mungkin digugurkan. 

"Lebih-lebih lagi apabila ketua pendakwa raya Raja Rozela yang tidak berkompromi digugurkan daripada kes itu," tambahnya, merujuk kepada Raja Rozela Raja Toran.

Idrus bagaimanapun memaklumkan ketidakhadiran Raja Rozela di mahkamah awal bulan ini adalah kerana beliau memohon untuk bersara awal.

Sambil menggesa Idrus berhenti “bercakap perkara tidak penting” mengenai kes Zahid, Sasha berkata beliau perlu menyatakan dengan segera dan jelas sama ada pertuduhan rasuah terhadap Zahid akan digugurkan ataupun tidak. 

"Adalah demi kepentingan umum dan keyakinan pelabur bahawa tiada keraguan lagi mengenai status kes ini," tambahnya.

Zahid, yang memainkan peranan penting dalam membawa sokongan 30 ahli Parlimen BN kepada kerajaan Anwar, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Antara pertuduhan CBT yang dikenakan terhadap Zahid ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan dana Yayasan Akalbudi melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016. 

Sasha berkata rentetan pertuduhan terhadap beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) selepas pilihan raya umum tahun telah menimbulkan keraguan terhadap kebebasan Jabatan Peguam Negara.

"Peguam negara perlu berdepan hakikat ini dan bertindak sewajarnya untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap Jabatan Peguam Negara," tambahnya. 

"Mengeluarkan kenyataan yang mendakwa beliau bebas hanyalah kata-kata kosong dan tidak mencukupi."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.