Kumpulan pengamal media, Gerakan Media Merdeka (Geramm) hari ini mengecam tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akses ke atas TV Pertiwi, dengan menyatakan sebarang bentuk sekatan ke atas portal berita dalam talian adalah ancaman kepada kebebasan akhbar negara.
Dalam satu kenyataan, Geramm berkata sebarang pertikaian melibatkan etika media perlu diselesaikan secara kendiri, telus dan bebas, seiring langkah penubuhan Majlis Media Malaysia yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang pertama tahun depan.
“Geramm juga mengulangi pendirian bahawa pihak SKMM perlu memaklumkan pihak pengurusan media sebelum sebarang tindakan sekatan dikenakan,” katanya.
“Selain itu, syarikat telekomunikasi serta pembekal perkhidmatan Internet (ISP) boleh memberikan penjelasan terkait langkah diambil setelah menerima arahan dari SKMM untuk menyekat akses kepada sebarang portal berita.”
Sekatan ke atas TV Pertiwi hadir beberapa hari selepas akaun TikTok mereka disekat secara kekal.
Tindakan terbaru ini adalah rentetan sekatan yang dikenakan terhadap beberapa laman sesawang dan saluran media sosial sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada akhir Jun, MalaysiaNow disekat selama 48 jam.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, mengatakan beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada SKMM untuk menyekat mana-mana laman sesawang.
Pada masa sama, akses ke laman sesawang MalaysiaToday yang dikendalikan oleh penulis blog terkemuka dan pengkritik kerajaan Raja Petra Kamarudin turut disekat, manakala blog bekas ahli Parlimen Wee Choo Keong pula disekat pada 24 Jun, dengan adan pemantau kebebasan media dalam talian, Sinar Project mengesahkan bahawa laman sesawang dikendalikan Wee itu telah disekat oleh SKMM.
Portal berita UtusanTV turut disekat SKMM, walaupun difahamkan sekatan itu ditarik balik sebelum Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos.