- Iklan -
Berita

Mayat mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina dibawa ke HTAR

Proses bedah siasat akan dilakukan bermula 8 pagi ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pegawai penyiasat dilihat memeriksa serpihan pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos.
Pegawai penyiasat dilihat memeriksa serpihan pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos.

Dua kenderaan pacuan empat roda dan satu trak milik Polis Diraja Malaysia yang membawa mayat 10 mangsa nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam, tiba di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, kira-kira 1.20 pagi ini. 

Semasa kenderaan itu tiba, ahli keluarga dan waris hanya dapat menunggu di laluan masuk ke unit berkenaan kerana mereka tidak dibenarkan memasuki ke pekarangan Jabatan Forensik ketika proses menurunkan kesemua jenazah dilakukan.

Difahamkan, proses bedah siasat akan dilakukan bermula 8 pagi ini. 

Pemerhatian Bernama setakat 1.40 pagi, ahli keluarga mangsa yang berada di sekitar Jabatan Forensik HTAR sempat mengadakan tahlil serta bacaan Surah Yasin. 

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan sebelum ini mengesahkan 10 lelaki terkorban dalam nahas membabitkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam petang semalam.

Beliau berkata lapan daripada mereka adalah terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.