- Iklan -
Berita

Perakam suara kokpit dihantar untuk analisis, kata Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata keputusan siasatan akan diumum secara telus.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Serpihan pesawat ringan dan motosikal berkecai di tempat kejadian pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos.
Serpihan pesawat ringan dan motosikal berkecai di tempat kejadian pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos.

Alat perakam suara kokpit atau cockpit voice recorder (CVR) yang ditemui daripada pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam semalam telah dihantar ke Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) awal pagi tadi untuk dianalisis.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata BSKU yang merupakan biro di bawah kementerian itu, telah diarahkan untuk menjalankan siasatan segera dan terperinci sebelum hasil siasatan diumumkan  secepat mungkin.

“Segala hasil siasatan akan diumum secara telus...kita tidak akan sembunyi apa-apa fakta, segala fakta diperoleh nanti akan diumum pada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Dan Pembiayaan antara Yinson, RRJ dan Farosson di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang  terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengakibatkan 10 individu maut.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi mangsa masing-masing merupakan penunggang motosikal dan pemandu e-hailing yang lalu di tempat kejadian.

Loke berkata pihaknya sedar analisis berkenaan perlu dibuat segera kerana ia melibatkan kepentingan ramai dan menarik perhatian banyak pihak, malah beliau sendiri ingin tahu punca nahas tersebut secepat mungkin.

Berhubung identiti dua mangsa orang awam yang terlibat dalam nahas itu, Loke berkata kementerian menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan mengenal pasti individu berkenaan. 

“Setakat bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT) semalam, kami telah melakukan apa yang sepatutnya iaitu mendedahkan kepada umum manifest penerbangan, siapa penumpang terbabit, tetapi identiti semua mangsa bidang kuasa polis,” katanya.

Dalam pada itu, Loke turut meminta orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung  nahas pesawat berkenaan, dan memohon ruang privasi diberikan kepada ahli keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi itu.

Katanya ketika ini, pihak berkuasa seperti polis dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) seharusnya diberi ruang untuk menjalankan siasatan mereka secara terperinci dan menyeluruh.

Dalam nahas semalam itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai Johari Harun antara yang berada dalam senarai penumpang pesawat berkenaan. 

Turut tersenarai adalah dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima  penumpang lain Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.