- Iklan -
Berita

Bagaimana dialek tempatan menjadi popular disebabkan PRN

Walaupun penggunaan dialek tempatan boleh memenangi pengundi tempatan, ia juga boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan mereka yang tidak biasa dengan cara pertuturan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menarik perhatian seluruh negara dengan gaya percakapan terus terang dengan dialek utara yang pekat semasa pilihan raya baru-baru ini. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menarik perhatian seluruh negara dengan gaya percakapan terus terang dengan dialek utara yang pekat semasa pilihan raya baru-baru ini. Gambar: Bernama

Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang berlangsung baru-baru ini bukan sahaja menjadi medan pertembungan antara calon dan parti politik, akan tetapi memperlihatkan bagaimana loghat atau dialek negeri menjadi popular di peringkat nasional. 

Antara yang menyebabkan ini berlaku ialah media sosial seperti TikTok yang memuat naik ucapan pemimpin-pemimpin popular seperti Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang terkenal dengan loghat Kedah yang pekat.  

Menurut Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Teo Kok Seong calon menggunakan dialek atau loghat tempatan sebagai satu strategi untuk lebih disenangi dan dekat dengan penduduk tempatan.  

Katanya, senario itu merupakan satu perkembangan yang positif di mana secara tidak langsung PRN menjadi platform memperkenalkan atau mempopularkan lagi dialek daerah kepada masyarakat di luar.

“Senario itu antara sampingan dan amat baik, dari satu segi rakyat Malaysia disajikan dialek negeri tertentu selain mendapat maklumat dan bentuk sifat dialek itu,” katanya kepada MalaysiaNow.  

“Saya kira mereka pun dapat lihat mesej disampaikan dalam dialek itu selain penggunaan dialek itu cukup disenangi orang tempatan.”  

Menurut Teo, kempen-kempen ceramah yang tular ini akan dilihat masyarakat dan kelebihan media sosial ialah ia melangkaui sempadan dan semua golongan.

Paling penting katanya, ia turut memberi pendedahan kepada generasi muda yang kali pertama mendengar ceramah.

“Tapi dengan ada media sosial sekarang maka ia tular dengan lebih cepat, rakyat seluruh negara dapat mengetahui dialek Kedah macam mana, dialek Kelantan dan Terengganu macam mana.

“Dan dialek daerah ini sebenarnya ada subnya lagi, seperti kalau di Hulu Terengganu dialeknya tidak sama seperti dialek Terengganu yang kita selalu dengar.  

“Sama juga dengan Kedah dan Pulau Pinang, walaupun di negeri utara tapi loghatnya berbeza jika diamati dengan betul,” katanya.

Timbulkan kontroversi  

Penggunaan dialek tempatan mewarnai kempen di enam negeri PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang Kedah Kelantan dan Terengganu.  

Bahkan ia turut mencetuskan kontroversi seperti penggunaan perkataan “betina” yang diucapkan Sanusi dalam ceramahnya di Sik, Kedah dianggap merendahkan calon wanita parti lawan.  

Sanusi mempertahankan dirinya dan berkata pihak yang menuduh tidak memahami dialek dan bahasa penduduk Sik sedangkan ia perkataan biasa digunakan di kawasan itu di mana mereka memanggil wanita sebagai “tino” dan lelaki sebagai “jantan”.

Di Terengganu pula ayat “cah keting” antara ayat popular yang sering digunakan apabila tibanya musim pilihan raya.   

Cah keting asalnya adalah ayat digunakan dalam perlawanan bola sepak di mana pemain akan cuba menyepak keting lawannya supaya tidak dapat beraksi dengan baik.  

Dalam politik cah keting pula adalah metafora bahasa yang menggambarkan perbuatan sabotaj dalam parti sendiri.  

Di Kelantan pula, PAS menggabungkan seni dikir barat dan loghat negeri itu dalam lagu kempen parti itu.  

Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) Awang Azman Awang Pawi berkata, penggunaan dialek tempatan adalah strategi yang selalu digunakan oleh calon dalam kempen mereka.  

“Politik kenegerian itu terlihat dari segi penggunaan dialek yang meluas, ada yang menggunakan dialek pekat dengan konsep yang mereka fahami dalam konteks tempatan.

“Jadi ia digunakan untuk meningkatkan pengaruh mereka ke atas penduduk setempat yang menunjukkan mereka seolah-olah ada jati diri tempatan dan juga untuk menunjukkan bahawa mereka berbeza daripada wilayah lain,” katanya.

Menjuarai isu setempat

Awang Azman berkata, dalam konteks besarnya pendekatan itu turut dipanggil “etno-nasionalisme” yang bermaksud menggunakan isu setempat untuk meraih undi.

“Etno-nasionalsime ini adalah istilah antropologi, ia adalah strategi seperti saya kata tadi iaitu untuk mendekatkan, merapatkan dan mengukuhkan pengaruh dalam kalangan setempat,” katanya.  

Bagaimanapun beliau berkata, bahasa-bahasa kenegerian yang digunakan dalam kempen PRN juga dijadikan justifikasi menghalalkan penggunaan ayat kasar untuk ditujukan kepada pihak lawan.  

“Seperti contoh istilah ‘kepala hotak’ dalam ceramah yang digunakan dikatakan bukan istilah yang taboo tapi diberi alasan ayat yang biasa digunakan oleh penduduk setempat di kawasan atau daerah itu.  

“Jadi nak tahu betul atau tidak kita kena tanyalah penduduk tempatan,” katanya.  

Pengerusi Tetap Perikatan Nasional (PN) Cawangan Bahagian Taman Jujur di Negeri Sembilan, Mustafa Kamal Abdul Rahman berkata, di beberapa daerah Negeri Sembilan calon tempatan yang boleh bertutur dalam bahasa negeri akan mendapat kelebihan.  

“Contoh di daerah Jelebu, Rembau, Kuala Pilah memang berkesan dan ia pendekatan yang sesuai sebab tumpuan PRN ini lebih bersifat kenegerian dan bukan nasional macam Pilihan Raya Umum.

“Sebab itu kita tengok setiap calon ada sentuhan kenegerian mereka sendiri untuk memikat hati pengundi tempatan bukan hanya PN sahaja tapi PH juga akan gunakan pendekatan yang sama,” katanya.  

Mustafa yang juga merupakan anggota kumpulan muzik metal tempatan Farasu berkata, terdapat juga kesan negatif disebabkan perbezaan komunikasi dan sentimen tempatan itu tidak difahami masyarakat luar.    

“Kalau orang luar yang tidak biasa dengan cara hidup dan pertuturan loghat tempatan ini jadi mereka akan keliru dan ini akan dimanfaatkan pihak lawan,” katanya.