- Iklan -
Berita

Peguam sekolahkan Fahmi tentang kebebasan media

Ini berlaku selepas menteri kelihatan mewajarkan siri sekatan ke atas saluran media dalam talian yang diperlukan untuk menghentikan maklumat yang tidak tepat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita di Ipoh, 19 Ogos. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita di Ipoh, 19 Ogos. Gambar: Bernama

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mempersoalkan kenyataan menteri komunikasi dan digital terhadap maklumat "tidak tepat" dan "fitnah" berikutan aduan sekatan ke atas beberapa laman sesawang dan saluran media sosial sejak Jun tahun ini. 

Fahmi Fadzil dilaporkan berkata meskipun beliau memberi jaminan mengenai kebebasan media dan kebebasan bersuara, namun ini tidak bermakna rakyat bebas menyebarkan fitnah dan maklumat salah.

“Secara umumnya, itu adalah jaminan dan pada masa sama kita tidak boleh benarkan kalau ada maklumat salah atau fitnah menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) untuk dimainkan oleh mana-mana pihak,” katanya seperti dilaporkan pada 19 Ogos lalu.

LFL bagaimanapun berkata hak kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh disekat atas alasan maklumat tidak tepat.  

"Sekatan terhadap kebebasan bersuara yang dibenarkan di bawah Perkara 10(2)(a) tidak merangkumi kenyataan yang tidak tepat," katanya.

"Pertuturan yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan yang boleh dihadkan, dan itu adalah sukar untuk dipenuhi."

Dalam satu kenyataan, Pengarah LFL Zaid Malek turut menyifatkan kenyataan Fahmi sebagai "cubaan jelas untuk mewajarkan atau meletakkan asas untuk menyekat portal atau laman sesawang yang mengkritik kerajaan". 

“Adalah mengganggu dan tidak berperlembagaan untuk menteri meletakkan dirinya sebagai penimbang tara ‘kebenaran’ dan membuat keputusan sendiri untuk menyekat berita yang kononnya memfitnah atau tidak tepat. 

"Fitnah atau tidak tepat menurut siapa? Adakah hanya hak kerajaan untuk memutuskan perkara yang benar?"

Beliau turut mengingatkan Fahmi mengenai Akta Antiberita Tidak Benar, yang dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 sebagai ancaman kepada kebebasan bersuara. 

“Berita palsu mesti dijawab dengan penjelasan, bukan dijenayahkan,” katanya. 

"Jika kerajaan dapat memutuskan perkara yang tidak tepat atau fitnah, ia akan membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan pemenjaraan lawan politik. Sejarah silam kita audah membuktikan perkara ini, berulang kali."

Beliau juga mengingatkan bagaimana Seksyen 500 Kanun Keseksaan digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional untuk melemparkan "tuduhan bermotif politik" terhadap pemimpin PH. 

"PH ketika itu mengkritik undang-undang berkenaan. Sekarang apabila berkuasa, adakah Fahmi sudah lupa perkara ini?" 

Zaid berkata, kuasa sebegitu, jika dibenarkan, boleh menyekat wacana mengenai perkara berkepentingan awam kerana kerajaan boleh "memutarbelitkan" takrifan fitnah dan ketidaktepatan agar sesuai dengan tujuannya sendiri. 

“Lawan politik, pengkritik kerajaan, aktivis dan orang ramai akan terbeban untuk membuktikan sebarang dakwaan kesalahan terhadap kerajaan jika ini dibenarkan. 

“Kemelut 1MDB adalah contoh jelas bagaimana kuasa sedemikian boleh disalahgunakan dengan mudah oleh kerajaan, di mana portal berita disekat dan individu didakwa kerana bersuara. 

"Tiada sebab untuk mempercayai penyalahgunaan seperti itu tidak akan berlaku di bawah kerajaan ini atau mana-mana kerajaan lain," katanya.