- Iklan -
Berita

Perakam suara kokpit pesawat terhempas di Shah Alam dihantar ke Singapura untuk analisis

Biro Siasatan Kemalangan Udara Malaysia berdepan kesukaran untuk mendapatkan data rakaman berkenaan kerana perakam suara itu berada dalam keadaan tidak sempurna dan hangus terbakar.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota penyiasat dilihat memeriksa serpihan pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Anggota penyiasat dilihat memeriksa serpihan pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Kotak perakam suara kokpit (CVR) milik pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam di Selangor pada Khamis lepas, dihantar ke sebuah makmal di Singapura bagi mendapatkan semula data rakaman suara 30 minit terakhir sebelum nahas untuk dianalisa.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Malaysia berdepan kesukaran untuk mendapatkan data rakaman berkenaan kerana CVR yang mengandungi “memory puck” itu berada dalam keadaan tidak sempurna dan hangus terbakar.

Beliau berkata meskipun luaran CVR itu hangus namun “memory puck” yang menyimpan data rakaman suara kokpit 30 minit terakhir itu masih elok, cuma Malaysia tiada kepakaran untuk mendapatkan data itu.

"Oleh sebab kita tidak ada peralatan untuk retrieve data berkenaan, jadi 'memory puck' itu telah pun dihantar ke Singapura semalam," katanya dan menambah Malaysia akan dibantu Transport Safety Investigation Bureau (TSIB) Singapura untuk mendapatkan semula data rakaman itu.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Semarak Merdeka dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini, Loke berharap semua pihak dapat memberikan masa kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan analisis rakaman nahas itu.

"Kita tidak pasti (berapa lama) dan kita cuba yang terbaik untuk mendapatkan rakaman itu, bila dah dapat kita akan terus umumkan. Kita pun nak cepat (umumkan) tapi ada isu-isu teknikal yang perlu diatasi," katanya.

Dalam kejadian Khamis lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Johari Harun.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing ialah rider p-hailing dan pemandu e-hailing, yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

Loke berkata laporan siasatan awal nahas pesawat itu, yang disediakan oleh BSKU dan dibantu oleh The National Transportation Safety Board (NTSB) Amerika Syarikat, akan didedahkan dalam tempoh sebulan.

"Wakil NTSB dipanggil membantu siasatan kerana pesawat itu didaftarkan di AS," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.