- Iklan -
Berita

Sultan Selangor mahu kerajaan negeri beri penekanan masalah banjir

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut melahirkan kekecewaan terhadap prestasi Selangor yang telah mula ketinggalan dari segi pelaburan dan nilai eksport barangan berbanding negeri lain.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Istiadat Pelantikan Menteri Besar Selangor dan ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) 2023, di Istana Alam Shah, di Klang hari ini, 21 Ogos. Gambar Bernama
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Istiadat Pelantikan Menteri Besar Selangor dan ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) 2023, di Istana Alam Shah, di Klang hari ini, 21 Ogos. Gambar Bernama

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah kepada kerajaan negeri yang dibentuk hari ini supaya segera mengatasi segala kepincangan yang ada dalam kehidupan rakyat khususnya dari segi infrastruktur dan pembangunan. 

Sultan Sharafuddin bertitah adalah menjadi keutamaan baginda agar kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah berkaitan kehidupan harian rakyat dengan memberi penekanan kepada masalah banjir yang sering melanda Selangor.

“Beta ingin memberi penekanan kepada masalah banjir yang sering melanda negeri Selangor yang telah menyusahkan kehidupan rakyat Beta. Rancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang perlu segera dilaksanakan,” titah baginda. 

Sultan Selangor bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan menteri besar Selangor dan ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) 2023, di Istana Alam Shah, di Klang hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

“Apalah gunanya Selangor berbangga dengan pencapaian kemajuan ekonomi yang pesat dengan status negeri kaya serta kejayaan mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar tertinggi di Malaysia sekiranya masalah keperluan asas rakyat tidak mampu diuruskan dengan baik.

“Sedarkah kita bahawa sejak kebelakangan ini, negeri Selangor telah mula ketinggalan dari segi pelaburan dan nilai eksport barangan jika dibandingkan dengan negeri Pulau Pinang, Johor malah negeri Sarawak. Kejatuhan ini mungkin tanpa kita sedari dan kita dilihat gagal untuk segera mengatasinya,” titah baginda.

Justeru Sultan Selangor bertitah satu tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ia daripada terus menjejaskan reputasi Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia.

Baginda menaruh harapan tinggi kepada ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) 2023 bagi memberikan perkhidmatan cemerlang dengan turun ke padang bagi melihat sendiri keadaan pembangunan yang dirancang dan sedang berjalan.

“Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dah penat, Beta pun dah penat dengar. Bangunlah ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita. Jadikan negeri Selangor ini hebat semula seperti mana pada zaman kegemilangan negeri Selangor tidak berapa lama dahulu,” titah baginda. 

Baginda bertitah dengan usianya yang telah menjangkau 78 tahun pada tahun ini adalah menjadi harapan dan impian baginda untuk dapat melihat Selangor bangkit semula, maju ke hadapan dari segenap sudut merangkumi pembangunan fizikal dan kerohanian, pertumbuhan ekonomi yang mampan, perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, di mana rakyatnya hidup dalam keadaan selesa serta kemakmuran yang berpanjangan.