- Iklan -
Berita

Polis panggil aktivis muat naik video kritik Anwar Islamkan pemuda India

Arun Dorasamy disoal siasat oleh polis Bukit Aman mengikut tiga akta berbeza kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Arun Dorasamy (kanan) bersama peguamnya Rajesh Nagarajan di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur semalam.
Arun Dorasamy (kanan) bersama peguamnya Rajesh Nagarajan di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur semalam.

Polis memanggil seorang aktivis kerana mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengislamkan seorang pemuda beragama Hindu baru-baru ini.

Arun Dorasamy disoal siasat polis Bukit Aman semalam berhubung video yang disiarkannya baru-baru ini, di mana beliau mengkritik tindakan Anwar sebagai tidak wajar untuk seorang perdana menteri, serta tidak sejajar dengan garis panduan penukaran agama yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim). 

Difahamkan, Arun disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan menghina dan menggugat ketenteraman awam, dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkaitan penyalahgunaan kemudahan internet.

Dia juga disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil yang berkaitan dengan "kelakuan menghina".

Menurut peguam Rajesh Nagarajan yang menemani Arun, beliau dimaklumkan polis bahawa perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Klip video Anwar yang dikongsi di media sosial menunjukkan beliau memegang tangan seorang pemuda India sambil membaca syahadah yang kemudiannya diulangi pemuda itu. 

Susulan itu, ahli Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), sebuah pertubuhan yang menjalankan program untuk mualaf baru, berkata Anwar menunaikan permintaan spontan olehnya untuk melaksanakan proses pengislaman ketika melawat masjid Jamek Ar-Rahimiah di Klang Jumaat lepas.

Dalam respons lima minitnya dalam bahasa Tamil, Arun berkata dia tidak menentang hak pemuda beragama Hindu itu yang mahu memeluk Islam. 

Namun, katanya sebagai seorang perdana menteri, tindakan Anwar itu tidak sensitif terutamanya kepada penganut agama Hindu di Malaysia. 

Dia berkata tindakan itu lebih bersifat “lakonan" susulan kehilangan sokongan orang Melayu dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.

“Tindakan seperti ini tidak perlu memandangkan pilihan raya sudah berakhir dan mereka (kerajaan) dikalahkan di tiga negeri.

“Langkah seterusnya mereka seharusnya ke arah meningkatkan ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan, mengurangkan harga barangan harian, dan menjadikan pendidikan lebih mudah diakses,” tambahnya.

Sambil berkata masyarakat India hanya termakan dengan janji kosong daripada kerajaan, Arun berikrar untuk berkempen secara peribadi di kalangan pengundi Hindu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai di Johor bulan depan.

"Jawapan untuk ini dapat dilihat semasa pilihan raya 9 September di Pulai, di mana 12.2% adalah pengundi India," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.