- Iklan -
Berita

Sultan Selangor tegur kelompok masyarakat guna kata kesat, biadab

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah kebiadaban individu sebegini sudah 'melampaui batas dan nilai umat Islam dan orang Melayu'.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berucap di Istana Alam Shah di Klang, ditemani Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, 21 Ogos. Gambar: Bernama
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berucap di Istana Alam Shah di Klang, ditemani Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, 21 Ogos. Gambar: Bernama

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menegur tindakan segelintir kelompok masyarakat, ahli politik serta pemimpin politik yang menggunakan kata-kata kesat serta biadab ketika kempen pilihan raya termasuk mengheret institusi raja dalam ceramah.

Baginda bertitah, keadaan itu menggambarkan terhakisnya rasa hormat terhadap institusi raja dan kesultanan Melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang Melayu serta bangsa lain.

“Sikap biadab ini melangkaui batas serta nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara. Ingatlah jangan kerana menyangka bahawa kita popular dalam kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing.

“Malah sanggup pula hadir ke negeri Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas. Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapapun khususnya di khalayak ramai. Peliharalah adab dan susila kita apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri Selangor di Istana Alam Shah di Klang semalam. 

Turut berangkat ke istiadat itu Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sultan Selangor turut bertitah agar semua pihak menghentikan budaya caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat dan menumpukan ke arah memajukan kehidupan rakyat serta memakmurkan negara.

Baginda bertitah semua orang Melayu Islam di Selangor untuk sentiasa mengelakkan perbalahan dan persengketaan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan serta imej buruk kepada kesucian agama Islam. 

“Beta perhatikan politik telah banyak memecah-belahkan perpaduan kita sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit. Cukuplah apa yang telah berlaku. Kita perlu maju dan membawa perubahan kepada cara berpolitik dan berfikir.

“Kini pilihan raya telah selesai maka marilah kita bersama-sama mengeratkan semula hubungan tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik. Kita perlu kembali bersatu padu membangunkan semula negara dan Selangor khususnya,” titah baginda.   

Baginda juga bertitah supaya platform media sosial dan semua aplikasi teknologi moden digunakan bagi perkara positif yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan bukannya untuk menyebarkan fitnah serta kebencian sehingga menyebabkan perpecahan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.