- Iklan -
Berita

Pakar, NGO tolak dakwaan sekolah agama sebabkan perkauman

Shamsul Amri Baharuddin berkata ini hanyalah andaian.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Pakar hubungan etnik Shamsul Amri Baharuddin berkata tiada data yang menunjukkan sekolah agama membawa kepada sentimen Melayu dan Islam.
Pakar hubungan etnik Shamsul Amri Baharuddin berkata tiada data yang menunjukkan sekolah agama membawa kepada sentimen Melayu dan Islam.

Pakar hubungan etnik dan badan bukan kerajaan (NGO) menolak dakwaan seorang penganalisis politik yang mengatakan kebanjiran sekolah agama menyebabkan lahirnya generasi orang-orang Melayu yang bersifat perkauman.

Mereka berkata tiada satu data yang membuktikan sekolah agama menjadi punca kebangkitan sentimen Melayu dan Islam yang menebal sehingga menyebabkan Perikatan Nasional (PN) menjadi begitu kuat.

Pengarah dan pengasas Institut Kajian Etnik (Kita) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Shamsul Amri Baharuddin berkata, ia merupakan andaian semata-mata tanpa sebarang bukti.

"Ini hipotesis tanpa bukti yang datang dari pihak yang takut dengan gelombang hijau. 

“Sentimen perkauman tidak datang daripada hipotesis tersebut," katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau mengulas mengenai kenyataan penganalisis politik James Chin di Twitter yang mengatakan sekolah agama akan menjadi lubuk perkauman berdasarkan data bilangan sekolah agama berdaftar yang dimuat naiknya.

"Perlu saya katakan dengan lebih jelas, lebih 4,000 sekolah agama yang berdaftar di seluruh negara ini tidak termasuk yang tidak berdaftar) menjadi medan pendidikan bagi kaum Melayu, Islam dengan persekitaran atau pergaulan antara kaum lain yang sangat terhad atau mungkin tidak ada langsung.

"Adakah ini sebab mereka begitu berasa was-was dengan kaum Cina dan India," katanya.

Shamsul menambah salah faham yang sama turut berlaku dalam isu melibatkan isu 3R (agama, raja dan kaum).

Beliau berkata, polemik 3R ini hanya dilihat lebih berat kepada kaum Melayu atau parti Melayu sedangkan ia wujud dalam setiap kumpulan etnik dalam negara ini.

"Sentimen 3R ini dalam politik Malaysia adalah sebahagian yang kita sebut ‘identiti politik'.

“Situasi ini wujud apabila kebanyakan parti politik mendakwa mereka mewakili suara dan perjuangkan setiap daripada kumpulan etnik yang ada.

"Kerana itu 3R ini wujud dalam setiap kumpulan kaum di negara ini bukan hanya kepada Melayu sahaja," katanya.

Islam menolak perkauman

Sementara jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya berkata persepsi itu tidak berasas kerana hakikatnya kecenderungan ibu bapa menghantar anak mereka ke institusi pendidikan tersebut adalah kerana timbulnya kesedaran melihat pentingnya untuk mengimbangi antara mata pelajaran umum dan pengajian Islam.

"Ramai ibu-bapa menghantar anak mereka ke sekolah agama kerana mereka bimbang dengan pendidikan yang ada sekarang tidak menekankan soal agama sangat.

"Ya lah dulu bila ada cadangan untuk ajar tulisan jawi untuk diletakkan dalam silibus mata pelajaran, kita dihalang bukan main.

"Jadi inilah kebimbangan ibu bapa hanya bertumpu kepada soal pendidikan agama anak-anak dan perkara ini tidak akan melahirkan perkauman yang menebal," katanya.

Tambahnya, pihak yang membuat dakwaan itu sebenarnya tidak memahami agama Islam itu sendiri yang tidak akan mengajar umatnya untuk membenci kaum lain.

"Bekas ketua polis negara, Musa Hassan sebelum ini pernah kata kaum Cina tidak akan wujud dalam negara jika betul sekolah agama ini melahirkan generasi Melayu yang bersifat perkauman.

"Tapi ini adalah hasil pendidikan agama Islam yang tidak pernah mendidik umatnya untuk bersifat perkauman, bagi saya itu hanya persepsi semata-mata," katanya.

Chin turut mengaitkan senario tersebut akan menjadi faktor kemenangan parti yang berorientasi Melayu-Islam akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17).

Biarpun tidak menyebut nama mana-mana parti, dipercayai Chin dari Unversiti Tasmania, Australia yang merujuk kepada gabungan PN.

"Saya tidak perlu sebut siapa yang akan menang, seawal PRU17 dan selepas itu. 

“Kita mungkin boleh bercakap tentang reformasi pendidikan dan kepelbagaian budaya selamanya tapi anda tidak boleh mengubah hakikat di bawah. Masa depan Malaysia diputuskan sekarang di sekolah ini," katanya.

Bagaimana dengan sekolah vernakular?

Aminuddin berkata sepatutnya orang-orang Melayu yang mempersoalkan sekolah vernakular yang menyebabkan jurang perkauman.

Katanya, sekolah vernakular sepatutnya dihapuskan kerana menjejaskan perpaduan dan menyebabkan bahasa kebangsaan terpinggir.

Beliau memberi contoh bagaimana DAP ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat 22 bulan selepas menang pada 2018 banyak membuat keputusan yang seolah mencabar hak orang Melayu-Islam di negara ini.

"Contoh masa itu mereka cuba meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

"Mereka yang tak nak asimilasi dengan budaya kita. Sebab itu kita jangan lihat hanya satu aspek sahaja tengok sama ada orang nak undi sana atau nak undi sini.

"Kita boleh dengar sendiri dalam kempen mereka yang menguar-uarkan kenyataan sensitif kepada umat Islam. Jadi sebenarnya merekalah yang mencetuskan sentimen takut kepada orang Islam," katanya.

Katanya, sejarah juga membuktikan menerusi tulisan buku tokoh-tokoh peneroka Inggeris yang datang ke Tanah Melayu seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford yang memuji sikap dan adab orang Melayu.

"Tulisan mereka ini sebagai contoh bagaimana sikap orang Melayu ini dari dulu sangat bertoleransi, berbudi bahasa pada masa sama sangat berdikari dan kreatif, kita kena tengok balik sejarah ini," katanya.

Sementara Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Teo Kok Seong bersetuju bahawa struktur atau persekitaran pembelajaran di sekolah agama membawa kepada kesukaran untuk menerima kaum lain.

Tapi beliau menolak situasi itu dilabelkan sebagai sentimen yang menaikkan perkauman sebaliknya ayat lebih tepat lagi ialah “kekauman”.

"Ia mengundang kepada sifat 'kekauman' tapi bukan perkauman. Itu memang tidak dapat nak elakkan sebab mereka tidak bergaul dengan kaum lain, persekitaran mereka tidak terdedah jadi kita tak dapat nak nafikan itu.

"Kalau perkauman itu sikap mendiskriminasi tapi itu tidak wujud dan tidak berlaku cuba isunya mereka hanya tidak bergaul dengan kaum lain," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.