- Iklan -
Berita

Pemuda Umno, MCA selar guna logo DAP dan PH pada replika cek sumbangan sekolah

Mereka meminta penjelasan mengenai sumber dana tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar replika cek yang mengandungi logo Pakatan Harapan dan DAP.
Gambar replika cek yang mengandungi logo Pakatan Harapan dan DAP.

Pemuda Umno dan MCA menyelar tindakan DAP dan Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo parti mereka pada replika cek peruntukan kerajaan kepada beberapa sekolah di Perak.

Ini selepas pemimpin DAP Perak Nga Kor Ming, yang juga menteri pembangunan dan kerajaan tempatan, dilihat berada di dalam gambar penyerahan replika cek tersebut yang mengandungi logo DAP dan PH di beberapa sekolah di Perak.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengecam penggunaan logo parti, menuntut Nga untuk memberi penjelasan mengenai sumber dana itu.

“Adakah sumbangan ini dari pihak kerajaan?

“Dan jika dari pihak kerajaan, apakah kaitan logo DAP berada di ‘mock up cheque’ sumbangan tersebut?

“Jangan jadi bodoh bila dah menjadi menteri,” tulis Akmal di Facebook.

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan MCA Wong Siew Mun berkata Nga sedang mempolitikkan peruntukan kerajaan, sambil menambah parti politik boleh menyumbang secara berasingan kepada sekolah jika mereka mahu.

“Seseorang menteri itu merupakan wakil rakyat,” kata Wong sambil menambah mempamerkan logo parti adalah cubaan untuk menipu rakyat peruntukan itu datang daripada Nga atau DAP.

“Sekiranya wang tersebut disumbang oleh PH dan DAP, sudah tentu kita semua akan rasa lebih teruja, tetapi media telah melaporkan bahawa peruntukan tersebut adalah daripada kerajaan.

“Timbul persoalan, adakah tindakan Nga ini selari dengan reformasi politik yang diuar-uarkan PH?” soalnya, sambil menambah kerajaan harus menumpukan pada penyelesaian masalah ekonomi rakyat dan bukannya mencari publisiti murahan.

Ini bukan kali pertama Nga meletakkan simbol parti politiknya dengan peruntukan kerajaan. 

Pada 2019 sewaktu PH memerintah, presiden MCA Wee Ka Siong mengkritik Nga kerana menyerahkan replika cek peruntukan kerajaan kepada sebuah sekolah Cina, yang mengandungi logo PH.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.