- Iklan -
Berita

Selangor umum senarai 11 portfolio exco

Exco seramai 11 orang itu termasuk tujuh muka baru.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (tengah) bersama Exco kerajaan negeri pada sidang media selepas mesyuarat khas exco kerajaan negeri di Shah Alam hari ini, 23 Ogos. Gambar: Bernama
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (tengah) bersama Exco kerajaan negeri pada sidang media selepas mesyuarat khas exco kerajaan negeri di Shah Alam hari ini, 23 Ogos. Gambar: Bernama

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini mengumumkan senarai 11 portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pasca-Mesyuarat Exco Khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, di Shah Alam.

Amirudin berkata selain berperanan sebagai Menteri Besar, beliau turut memegang portfolio Pembangunan Tanah dan Sumber Alam serta Kewangan dan Tindakan Ekonomi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua itu turut memegang portfolio Pemodenan Pentadbiran dan Digitalisasi Kerajaan, Komunikasi Strategik serta Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.

Tiga ADUN yang dilantik semula ke jawatan Exco ialah Adun Kinrara Ng Sze Han yang menggalas tanggungjawab sebagai Exco Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti; Adun Pandan Indah Izham Hashim (Infrastruktur dan Pertanian) dan Adun Tanjung Sepat Borhan Aman Shah (Perumahan dan Kebudayaan).

Tujuh muka baharu ialah bekas Speaker DUN yang juga Adun Sekinchan Ng Suee Lim yang akan menjalankan tugas sebagai Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan; Adun Sungai Air Tawar Rizam Ismail (Kemajuan Desa dan Perpaduan) dan Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (Kesihatan Awam dan Alam Sekitar).

Selain itu, Adun Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi dilantik sebagai Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan; Adun Banting V Papparaidu (Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan); Adun Seri Setia Dr Mohammad Fahmi Ngah (Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi), dan Adun Taman Templer Anfaal Saari (Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat).

Pada Isnin, menteri besar dan 10 Exco berkenaan mengangkat sumpah jawatan bagi penggal ke-15 di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Terdahulu, dalam ucapannya Amirudin menzahirkan rasa syukur dengan mandat yang diberikan rakyat sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri.

”Alhamdulillah, disebabkan keutuhan sistem di Selangor serta dengan sokongan rakyat, kita telah berjaya membentuk kerajaan negeri penggal ke-15.

“Dua hari lalu saya dengan barisan EXCO telah mengangkat sumpah sebagai tanda menjunjung amanah dan melunaskan tanggungjawab.

“Kita bukan angkat sumpah kepada parti ataupun faksi, tetapi kepada Allah dan negeri ini di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,” katanya.

Beliau berkata tanggungjawab itu mendorong mereka untuk mencari idea, meneroka teknologi baharu serta memberikan kemahiran baharu kepada generasi muda dalam usaha memacu kemajuan negeri Selangor. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.