- Iklan -
Berita

Kumpulan pengguna beri amaran insiden Sg Kim Kim berulang jika pencemaran sungai Johor dibiarkan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata masalah itu berlarutan sejak sekian lama.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas melakukan kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor. Gambar: Bernama
Petugas melakukan kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor. Gambar: Bernama

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan dan pihak berkuasa Johor supaya memberi perhatian serius dan mengambil tindakan berkesan bagi mengatasi isu pencemaran sungai di negeri itu.

Persatuan itu juga memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan negeri berbuat demikian akan mengakibatkan lebih banyak insiden seperti pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim pada 2019 berulang, yang menyaksikan ribuan penduduk dimasukkan ke hospital dan lebih 100 sekolah di kawasan itu ditutup.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata masalah itu berlarutan sejak sekian lama dan menimbulkan ancaman yang semakin serius terhadap alam sekitar dan kehidupan penduduk setempat.

“Apa yang membimbangkan CAP, pencemaran sungai di negeri ini bukan saja berpunca dari pembuangan sampah sarap tetapi juga sisa kimia yang boleh membunuh segala hidupan di dalam sungai dan memudaratkan kesihatan manusia,” tambahnya.

Beliau berkata Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini melahirkan kekecewaan terhadap Sungai Skudai meskipun kerap dibersihkan.

“Bahan buangan seperti sampah-sarap, plastik, bangkai ayam dan lampin pakai buang telah mencemarkan air sungai tersebut,” kata CAP sambil menambah Sungai Tebrau juga turut mengalami masalah pencemaran yang teruk.

Beliau turut menyebut kejadian di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, di mana lebih 1,500 penduduk terjejas akibat pencemaran bau kimia.

“Ramai antara mereka mengalami sesak nafas, meloya, sakit tekak, pening dan muntah terhidu bahan toksik yang mungkin dibuang di dalam sungai di kampung berkenaan,” katanya.

“CAP percaya jika pihak berkenaan gagal melaksanakan undang-undang dengan tegas dan berkesan kejadian buruk seperti yang berlaku pada 2019 dan 2021 akibat pembuangan sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang menjejaskan kehidupan lebih 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah akan berulang.”

Kerajaan ketika itu berkata bahawa pencemaran tersebut berpunca daripada sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim yang sepatutnya dibersihkan beberapa bulan lebih awal.

Mohideen berkata, nelayan di negeri ini juga mungkin kehilangan mata pencarian jika pencemaran sungai berterusan.

“Jabatan Alam Sekitar perlu menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dengan lebih tegas serta mengenakan hukuman berat setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan bukannya sekadar kompaun ke atas mereka yang didapati bersalah melanggar akta tersebut,” katanya.

Beliau turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji tahap pencemaran sungai di Johor dan mengenal pasti punca kegagalan kerajaan menangani masalah itu dengan berkesan.