- Iklan -
Berita

Jangan guna lambang parti ketika salur bantuan kerajaan, kata Anwar

Perdana menteri bagaimanapun turut menyalahkan PN yang pernah melakukan amalan tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan parti dalam kerajaan campuran supaya tidak menggunakan lambang parti sewaktu menyalurkan sebarang bantuan kerajaan sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram di Johor akan datang.

Kenyataan itu dikeluarkan hanya beberapa hari selepas pemimpin DAP Perak, Nga Kor Ming mempertahankan penggunaan lambang partinya dan juga Pakatan Harapan (PH) pada replika cek peruntukan kerajaan kepada beberapa sekolah di negeri itu.

Anwar bagaimanapun turut menyalahkan Perikatan Nasional (PN) yang pernah melakukan amalan tersebut.

“Ada berbangkit tentang penyaluran bantuan-bantuan kerajaan kepada rakyat, lambang parti tidak boleh digunakan.

“Ini telah diamalkan Perikatan Nasional (PN) dahulu dan saya percaya ada juga satu dua kes berlaku dalam kerajaan perpaduan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

“Arahan kita perkara ini (guna lambang parti), tidak boleh kerana bantuan kerajaan harus disalur atas nama kerajaan.”

Anwar sendiri didakwa menyalahgunakan jentera kerajaan sepanjang pilihan raya di enam negeri baru-baru ini, apabila menggunakan helikopter kerajaan untuk turun berkempen.

Timbalan Anwar, Ahmad Zahid Hamidi dalam pada itu turut dikritik selepas beliau mengumumkan pemberian dana kepada pertubuhan belia di Terengganu demi meraih undi orang muda.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu, manakala pengundian awal pada 5 September dan 9 September sebagai hari pengundian.

Kerusi Parlimen Pulai, serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sempang Jeram kosong selepas penyandangnya Salahuddin Ayub meninggal dunia.

Anwar berkata semua jentera dan pemimpin parti juga harus mematuhi dan menghormati semua peraturan yang ditetapkan SPR bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.