- Iklan -
Berita

MBI Selangor nafi kebocoran data skim Insan

Agensi pelaksana berkata laman sesawang itu sedang ditambah baik dengan ciri keselamatan tambahan dan akan aktif tidak lama lagi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Selangor Amirudin Shari, memperkenalkan skim insurans hayat di bawah pentadbirannya. Gambar: Bernama
Menteri Selangor Amirudin Shari, memperkenalkan skim insurans hayat di bawah pentadbirannya. Gambar: Bernama

Tidak ada elemen pembocoran data rakyat dan penduduk Selangor berlaku menerusi Skim Insurans Hayat Selangor (Insan) kerana ia dilindungi oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor dalam kenyataan memaklumkan bahawa dakwaan wujudnya elemen pembocoran data rakyat dan penduduk negeri itu adalah tidak tepat.

“Disebabkan dakwaan tidak tepat yang disebar luas, beberapa pihak tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan laman sesawang (program Insan) ini untuk tujuan yang berniat jahat. 

“Oleh itu, laman sesawang berkenaan sedang diperkukuhkan dengan ciri keselamatan tambahan dan akan aktif dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu hari ini.

MBI Selangor memaklumkan inisiatif kerajaan Selangor yang bermula 1 Oktober 2022 bertujuan memberi perlindungan insurans am kepada enam juta rakyatnya dengan badan korporat itu dilantik sebagai agensi pelaksana, manakala Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd sebagai pengendali perkhidmatan.   

Insan adalah antara inisiatif dan komitmen kerajaan negeri untuk mengurangkan beban kewangan rakyat apabila berlakunya kemalangan atau kematian selaras dengan laporan peningkatan kemalangan jalan raya di Malaysia daripada 370,286 pada 2021 kepada 545,588 pada 2022.

“Rakyat Selangor berumur dari 30 hari hingga 80 tahun layak dilindungi di bawah Insan. Terdapat dua jenis skim Insan iaitu konvensional yang disediakan oleh AmGeneral Insurance Berhad dan bagi takaful pula disediakan oleh Takaful Ikhlas General Berhad.

“Sehingga Julai 2023, sejumlah 44 kes tuntutan diselesaikan merangkumi jumlah pemberian pampasan sebanyak RM537,000 meliputi kes kematian dan kecacatan kekal,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu disebabkan aduan kekangan untuk mendaftar khususnya warga emas, kerajaan Selangor mengambil inisiatif melaksanakan proses prapendaftaran secara automatik dengan memadankan maklumat daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya dan nombor kad pengenalan rakyat serta penduduk negeri.

“Meskipun prapendaftaran automatik ini menyediakan polisi kepada rakyat dan penduduk di negeri Selangor, setiap penerima polisi perlu menyempurnakan proses pengesahan diri serta bersetuju menerima tawaran perlindungan ini. 

“Jika pengesahan tidak dibuat, tuntutan perlindungan sosial RM10,000 untuk kes kematian atau kes hilang upaya akibat kemalangan tidak akan diberikan. Tidak berlaku pembocoran data kerana data program Insan dilindungi oleh kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut berhubung program Insan boleh dirujuk pada lampiran soalan lazim yang disertakan dan laman sesawang Insan di www.programinsan.com.   

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.