Pertemuan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan TV Pertiwi yang disekat akses berakhir dengan saluran dalam talian itu enggan tunduk kepada permintaan pengawal selia internet berkenaan untuk menurunkan beberapa kandungan di laman sesawangnya, kebanyakannya dilihat mengkritik DAP.
Menurut TV Pertiwi, yang banyak menerbitkan rancangan bual bicara berkaitan isu semasa, dalam satu kenyataan berkata pihaknya bersetuju untuk menurunkan enam kandungan yang dipersoalkan SKMM dengan syarat pengawal selia internet itu perlu menjelaskan kesalahan yang ada dalam kandungan tersebut.
Bagaimanapun, portal itu berkata SKMM tidak memberikan sebarang penjelasan, sebaliknya hanya memaklumkan terdapat aduan tentang kandungan yang disiarkan tanpa menyebut pelanggaran undang-undang khusus yang terkandung di dalamnya.
TV Pertiwi berkata, pada 24 Ogos, SKMM menghantar e-mel meminta portal berita itu supaya menurunkan enam kandungan yang didapati cuba membangkitkan sentimen kebencian terhadap institusi raja, perkauman dan agama yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian dalam negara, mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM1998).
Enam kandungan itu kebanyakannya wawancara dan ringkasan berita yang mengandungi tajuk "DAP sambung usaha hapus ketuanan Melayu"; "Kit Siang dapat anugerah tanpa jasa, pancing undi Melayu"; "DAP mahu sebar agenda liberal dan kristianisasi"; "Kerajaan dan penyokong Anwar takut Melayu bangkit?"; "Jom Ziarah Gereja: anjuran NGO di bawah KBS, sasar belia Muslim; dan "Perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam tidak dibenarkan".
Laman sesawang TV Pertiwi disekat oleh SKMM pada 17 Ogos, dua hari selepas sekatan dikenakan ke atas akaun TikToknya.
Sementara itu, TV Pertiwi berkata ia meletakkan beban pembuktian yang kukuh ke atas pihak SKMM, sambil menambah akan mempertahankan haknya sebagai sebuah portal berita dan maklumat yang bebas, objektif dan berwibawa serta bersedia menghadapi apa-apa tindakan selanjutnya termasuk tindakan undang-undang.
“TV Pertiwi berpandangan bahawa masyarakat berhak mendapat maklumat dan berita yang seimbang, tidak berpihak dan bersifat objektif tentang peristiwa dan kejadian yang berlaku di dalam masyarakat dan negara, tanpa terikat kepada mana-mana kecenderungan politik kepartian.
“Di samping itu, kebebasan media dan mengeluarkan pendapat ataupun berbeza pandangan perlu diraikan sebagai satu elemen hak asasi dan juga kerancakan amalan demokrasi dalam langkah progresif menuju warganegara yang berilmu dan bermaklumat.”