- Iklan -
Berita

Umno tanding atas tiket sendiri hanya pandangan peribadi, kata Azalina

Ketua penerangan Umno itu juga bertanya sama ada parti itu masih akan bertanding di bawah lambang BN pada masa depan atau di bawah lambang BN dengan gabungan baharu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said. Gambar: Bernama
Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said. Gambar: Bernama

Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said  berkata pandangannya berhubung Umno bertanding atas tiket sendiri pada pilihan raya akan datang adalah pandangan peribadinya.

Ahli Parlimen Pengerang itu menyifatkan pandangan berkenaan tidak mewakili pendirian rasmi Umno atau Barisan Nasional (BN) dan tidak sepatutnya menjadi isu kerana itu adalah haknya sebagai ahli Umno dan tidak menjadi kesalahan baginya memberi pandangan.

"Saya tidak melihat itu sebagai pandangan rasmi Umno tetapi pandangan saya sebagai ahli Umno dan saya mewujudkan tiga senario (pada penulisan) itu, pada saya sebagai ahli Umno.

Di mana salahnya? Saya memberikan penulisan (pandangan) sebagai seorang yang sudah hendak dekat 60 tahun ini, saya mempunyai pandangan peribadi dalam politik dan itu hanyalah melambangkan pemikiran saya, juga soalan yang saya tanya pada diri saya sendiri," katanya kepada pemberita di Dewan Kejora, Bandar Penawar, di Kota Tinggi hari ini.

Azalina berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan MIC dan MCA berhubung pandangan Azalina supaya Umno mempertimbangkan untuk bertanding sendiri pada pilihan raya akan datang. 

Terdahulu, Azalina melancarkan Majlis Semarak Malaysia Merdeka 66 tahun Peringkat Parlimen Pengerang di sini.

Semalam, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), menerusi Facebooknya pada Selasa lepas, mempersoalkan sama ada sudah tiba masanya Umno bertanding atas tiket Umno pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut membangkitkan adakah parti itu pada masa akan datang masih lagi bertanding di bawah bendera BN atau pun di bawah BN dengan gabungan baharu.