- Iklan -
Berita

'Faktor masa' punca Awesome TV digugur daripada perarakan Hari Kebangsaan, kata Fahmi

Menteri komunikasi dan digital, bagaimanapun, berkata situasi itu bukan hanya dialami Awesome TV, kerana beberapa syarikat lain turut digugurkan daripada perarakan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyaksikan persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya hari ini, 24 Ogos. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyaksikan persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya hari ini, 24 Ogos. Gambar: Bernama

Pengguguran saluran televisyen tempatan, Awesome TV daripada acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 disebabkan faktor masa perjalanan program sambutan itu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata situasi itu bukan hanya dialami pihak Awesome TV sebaliknya terdapat beberapa syarikat lain turut digugurkan daripada menyertai acara itu pada sambutan yang akan diadakan di Dataran Putrajaya, di Putrajaya, Khamis ini. 

“Kita lihat dari segi jangka masa keseluruhan program, sebenarnya ada beberapa pihak yang mohon untuk sertai acara perbarisan, tetapi kami KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital) tidak dapat memenuhinya.

“Jadi bukan satu pihak sahaja (yang digugurkan). Jangka masa adalah terhad jika dilihat dari segi masa keseluruhan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya hari ini.

Pada 24 Ogos, media melaporkan Awesome TV mendakwa telah digugurkan tanpa sebab daripada senarai peserta bagi acara perbarisan Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran. 

Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran yang menyertai acara perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini bakal menampilkan kelainan apabila menyaksikan penglibatan gabungan pelbagai agensi dan syarikat media tempatan. 

Selain Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran, perbarisan dan perarakan tersebut juga akan disertai Kontinjen Kenegaraan, Kontinjen Perpaduan Malaysia Madani, Kontinjen Ekonomi dan Kontinjen Perbankan. 

Turut menyertai ialah Kontinjen Telekomunikasi, Kontinjen Komuniti, Kontinjen Sukan Negara, Kontinjen Kesejahteraan dan Kontinjen Keselamatan Negara.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi