- Iklan -
Berita

Mampukah PN tembusi 'tembok' selatan?

Meskipun berjaya membadai negeri utara, timur dan barat, gelombang PN terhenti di selatan semenanjung.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan daripada Barisan Nasional menggantung bendera di Taman Stulang Laut, Johor Bahru, menjelang Pilihan Raya Negeri pada 12 Mac 2022.
Sukarelawan daripada Barisan Nasional menggantung bendera di Taman Stulang Laut, Johor Bahru, menjelang Pilihan Raya Negeri pada 12 Mac 2022.

Gelombang Perikatan Nasional (PN) yang berjaya membadai beberapa kawasan di semenanjung Malaysia bermula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tampak masih mempunyai kekuatan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), apabila berjaya menembusi Selangor dan Pulau Pinang, selain mengukuhkan dominasi di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Di Pulau Pinang, gabungan itu meluaskan pengaruh dengan 11 kerusi manakala di Selangor, mereka berjaya memenangi 22 kerusi, sekali gus menafikan majoriti dua pertiga yang dimiliki Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Bagaimanapun, gelombang itu surut di Negeri Sembilan apabila PN hanya berjaya menangi lima kerusi daripada 36 yang dipertandingkan.

Ini menjadi persoalan apabila tarikh Pilihan Raya Kecil Pulai dan Simpang Jeram semakin hampir. Keputusan PRK ini mampu menjadi ujian litmus terhadap penerimaan PN di Johor, setelah lapan bulan pentadbiran perdana menteri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada MalaysiaNow, penganalisis politik Mazlan Ali berkata, negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor telah sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

"Negeri-negeri ini mengamalkan adat tersendiri, contohnya adat perpatih di Negeri Sembilan dan Melaka. Sukar untuk masyarakat keluar daripada sentimen adat yang sejak dahulu menentukan sokongan kepada Umno. 

"Kecuali orang-orang Negeri Sembilan dan Melaka yang kerja di luar dan tidak tertakluk kepada adat," katanya.

Pada PRN Melaka 2021 dan PRN Johor 2022, BN membentuk kerajaan negeri setelah mendapat majoriti dua pertiga. PN hanya menang dua kerusi di Melaka dan tiga di Johor.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Nur Jazlan Mohamed turut menafikan adanya gelombang PN di Johor. Katanya, gelombang itu terhad di utara Johor iaitu di kawasan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Ketua Umno Pulai itu menambah, populariti Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga pengarah pilihan raya PN tidak kelihatan di negeri paling selatan itu.

Seorang ketua cawangan Umno di Parlimen Labis, Johor berkata, sentimen agama di negeri berkenaan tidak sama dengan negeri pantai timur. 

"Strategi parti Umno selari dari akar umbi hingga ke atas. Bersatu pula tidak banyak cawangan dan banyak mengharapkan PAS," katanya yang tidak mahu dinamakan.

Jelasnya, kesan pengaruh Umno Johor dapat dilihat sejauh Pahang dan Melaka. Pada PRN baru-baru ini, Umno Labis menjadi keluarga angkat kepada DUN Palong dan Bahau. Konsep ini katanya diamalkan setiap wakil rakyat di Johor yang mana mereka telah menggembleng tenaga di Negeri Sembilan. 

Mazlan berkata, ketiga-tiga negeri itu telah melalui proses urbanisasi yang menyebabkan rakyat lebih terbuka.

"Negeri Sembilan menerima tempias pembangunan di Lembah Klang manakala Melaka menerima tempias daripada pembangunan Johor," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, pengaruh parti itu diakui tidak sama mengikut wilayah.

"Gelombang sudah ada tetapi tidak sekuat utara dan pantai timur.

"Komposisi kaum pada setiap kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen pun tidak sama dengan negeri-negeri pantai timur dan utara," katanya.

Namun menurut bekas calon Pas di Serkam semasa PRN Melaka itu, PN mampu menembusi lebih banyak kawasan, berpandukan keputusan PRN yang mana PN berjaya melakukan 'in-road' dalam PRN Melaka dan Johor.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.