- Iklan -
Berita

Law angkat sumpah sebagai Yang di-Pertua DUN Pulau Pinang penggal ketiga

Nama Law Choo Kiang dicadangkan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Law Choo Kiang mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di Georgetown hari ini, 29 Ogos. Gambar: Bernama
Law Choo Kiang mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di Georgetown hari ini, 29 Ogos. Gambar: Bernama

Law Choo Kiang hari ini dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi penggal ketiga berturut-turut.

Pelantikan beliau dicadangkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan disokong oleh Timbalan Ketua Menteri I Mohammad Abdul Hamid pada Majlis Angkat Sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, di Georgetown.

Law kemudian mengangkat sumpah di hadapan Setiausaha DUN Hasma Hashim dan diikuti kesemua 40 ADUN yang mengangkat sumpah dan menandatangani watikah sumpah setia di hadapan Law.

Majlis angkat sumpah itu dimulai dengan Chow diikuti Mohamad dan TKM II Jagdeep Singh Deo, 10 anggota exco dan Adun yang lain.

Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz pula dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, namun jawatan ketua pembangkang masih belum diisi. 

Pada pilihan raya negeri 12 Ogos lepas, gabungan Pakatan Harapan - Barisan Nasional (PH-BN) memenangi 29 daripada 40 kerusi DUN untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang.

DAP berjaya mengekalkan kesemua 19 kerusi DUN yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2018 manakala PKR (tujuh), Amanah (satu) dan BN (dua).

PH-BN membariskan 12 muka baharu iaitu Reezal Merican Naina Merican (Bertam), Phee Syn Tze (Sungai Puyu), Chee Yeeh Keen (Bagan Jermal), K. Kumaran (Bagan Dalam), S. Sundarajoo (Perai), Rashidi Zinol (Sungai Acheh), Lee Boon Heng (Kebun Bungah), Joshua Woo Sze Zeng (Pulau Tikus), Wong Yue Harng (Pengkalan Kota), Connie Tan Hooi Peng (Seri Delima), Fahmi Zainol (Pantai Jerejak) dan Mohammad (Batu Maung).

Selain itu, Perikatan Nasional (PN) yang memenangi 11 kerusi pada PRN lepas membariskan 10 muka baharu Bukhori Ghazali (Pinang Tunggal), Mohd Sobri Salleh (Permatang Berangan), Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff (Sungai Dua), Azmi Alang (Telok Ayer Tawar), Izhar Shah Arif Shah (Seberang Jaya), Amir Hamzah Abdul Hashim (Permatang Pasir), Zulkefli Bakar (Penanti), Nor Zamri Latiff (Sungai Bakap), Mohamad Shukor Zakariah (Pulau Betong) dan Muhamad Kasim (Telok Bahang).