- Iklan -
Berita

Penagih dadah perlu rawatan dan pemulihan, bukan pemenjaraan, kata menteri

Dr Zaliha Mustafa berkata penjara bukanlah tempat untuk merawat penagih dadah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Gambar: Bernama

Penagihan dadah adalah sejenis ‘penyakit kronik’ yang perlu ditangani melalui rawatan dan pemulihan bukannya menerusi kaedah tahanan atau pemenjaraan, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata penjara bukan tempat untuk memberikan rawatan kepada penagih dadah dan ini boleh merencatkan tahap kefungsian mereka sebagai masyarakat yang produktif.

“Penjara bukanlah jalan akhir untuk 'mendidik' individu yang terjerumus dengan salah laku dadah,” katanya berucap merasmikan Simposium Psikiatri Penagihan dan Forensik Malaysia Pertama 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata apa yang perlu ialah memberi penekanan berbeza dari sudut kesihatan awam untuk rawatan dan pemulihan penagih dadah.

Katanya perlu diakui terdapat banyak jurang serta cabaran yang harus ditangani antara penguatkuasaan perundangan dan rawatan perubatan untuk mereka yang menggunakan dadah dan cara terbaik hendaklah difikirkan dalam penyelesaian perkara itu.

Zaliha berkata selain cabaran dari sudut perundangan, terdapat juga cabaran di pusat pemulihan antaranya melibatkan penagih yang bergelut dengan gejala seperti sindrom tarikan atau kerencatan fizikal dan mental disebabkan dadah.

“Ini menyebabkan kesukaran bagi membentuk pelan rawatan yang berkesan...ia juga menghalang rawatan dan pemulihan yang sesuai untuk dimulakan dan pada masa sama melewatkan proses perundangan.

“Hasilnya prognosis penyakit akan bertambah buruk dan sistem pengadilan dan perundangan pula akan bertambah sesak,” katanya.

Beliau berkata dari sudut perundangan pula sistem perundangan dan rawatan yang bersandarkan pendekatan berasaskan komuniti boleh menjadi pemangkin perubahan yang dikehendaki.

Dalam masa sama, katanya pengamal perubatan dan kesihatan mental juga perlu menitik beratkan pengetahuan dan kemahiran klinikal serta keprihatinan terhadap amalan perundangan untuk memastikan ketepatan penilaian perubatan yang akan membantu proses perundangan. 

Sementara itu, Simposium Psikiatri Penagihan dan Forensik Malaysia berkenaan merupakan hasil kerjasama Badan Kebajikan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Kuala Lumpur yang merangkumi perbincangan bersama pakar dari dalam dan luar negara untuk meningkatkan kefahaman mengenai Ketagihan dan Forensik Psikiatri.

Simposium itu diadakan selama dua hari bermula hari ini dengan membawa tema “Navigating Roadblocks Recapturing Life”.