- Iklan -
Berita

SKMM pertahan tindakan sekat media, beri alasan ‘keharmonian masyarakat’

Pengawal selia internet itu mengatakan suruhanjaya bertanggungjawab untuk menghentikan penyebaran 'maklumat mengelirukan'

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata ia bertanggungjawab untuk mengawal selia industri komunikasi dan multimedia.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata ia bertanggungjawab untuk mengawal selia industri komunikasi dan multimedia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyelar kritikan berhubung sekatan terhadap media di negara ini, menuduh organisasi media yang "menyebarkan berita palsu atau sengaja menyiarkan kandungan kurang tepat” yang dikatakan boleh mengancam "keharmonian masyarakat".

“Bagi memerangi isu ini, SKMM kekal berpendirian teguh dalam melaksanakan tugas dan fungsi penguatkuasaannya bagi menjaga integriti maklumat dan keharmonian masyarakat," kata pengawal selia internet itu dalam satu kenyataan beberapa jam selepas sekumpulan wartawan terkemuka memberi amaran kepada suruhanjaya itu supaya tidak membawa Malaysia kembali kepada amalan masa lalu yang menyekat kebebasan media.

Lapan wartawan kanan dan pemilik media hari ini memberi amaran kepada suruhanjaya itu supaya tidak bertindak sebagai "Big Brother" berikutan beberapa siri ancaman dan sekatan ke atas organisasi media di negara ini, berkata ia adalah peringatan kepada amalan pentadbiran terdahulu untuk mendiamkan pengkritik ke atas elit politik.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap Kerajaan,” kata wartawan terkemuka, Johan Jaaffar dan A Kadir Jasin; bekas pengerusi Bernama Azman Ujang; bekas pengarang Bernama, Yong Soo Heong dan Zakaria Wahab, serta aktivis veteran media Hussamuddin Yaacob, Chamil Wariya dan G Manimaran dalam satu kenyataan bersama hari ini.

“Kami sama sekali tidak dapat menerima sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti SKMM untuk menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian.”

Dalam menjawab perkara itu, SKMM berkata suruhanjaya itu bertanggungjawab untuk mengawal selia industri komunikasi dan multimedia, sambil menambah ini termasuk peranannya untuk memastikan platform dalam talian tidak melanggar undang-undang Malaysia.

“SKMM berpandukan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang membolehkan SKMM menjalankan fungsi-fungsinya,” menurut suruhanjaya itu.

Ia mempertahankan tindakan untuk menangani penyebaran "berita palsu, kandungan yang jelik dan berunsur fitnah”.

“Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam penerbitan berita yang kurang bertanggungjawab, kurang peka dan kurang tepat. 

“Terdapat organisasi media yang menerbitkan kandungan yang tidak tepat dan mengelirukan. 

“Beberapa organisasi media didapati tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang mengelirukan atau dengan sengaja menyiarkan kandungan kurang tepat.”

SKMM seterusnya mendakwa dengan peningkatan kandungan yang dijana sediri pengguna, etika kewartawanan seolah-olah dipandang enteng, mengatakan ini amat mencabar untuk membezakan kandungan yang berlandaskan fakta atau sebaliknya. 

Suruhanjaya itu mendapat perhatian baru-baru ini berikutan beberapa siri sekatan akses ke atas portal berita serta permintaan kepada platform media sosial untuk menurunkan kandungan yang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada Jun, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil diserang selepas portal berita MalaysiaNow disekat selama 48 jam.

SKMM tidak menjawab pertanyaan berulang kali untuk mendapatkan penjelasan. 

Bulan lalu, sebuah lagi portal berita, UtusanTV, yang dikendalikan oleh bekas kakitangan syarikat media Utusan Melayu yang kini ditutup, turut disekat.

SKMM juga menyekat akses ke atas laman sesawang Malaysia Today yang dikendalikan oleh pengkritik kerajaan Raja Petra Kamarudin, serta sebuah blog yang dikendalikan oleh bekas ahli Parlimen DAP Wee Choo Keong. 

Semakan kehakiman yang difailkan oleh Wee untuk mencabar sekatan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

Terbaru, SKMM menyekat TV Pertiwi, sebuah portal berita dalam talian yang mengkhususkan kandungan video pendek dan podcast berkaitan politik.

Selepas pertemuan dengan agensi itu, TV Pertiwi mendedahkan SKMM bersetuju menarik balik sekatan dengan syarat portal berita itu perlu menurunkan enam kandungan berita.

Permintaan SKMM itu bagaimanapun ditolak portal berita tersebut.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.