- Iklan -
Berita

Amirudin saman Sanusi, berkaitan dakwaan skandal projek Sungai Klang

Amirudin menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, serta perintah injunksi untuk menghalang Sanusi daripada mengulangi dakwaan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaannya mengenai projek pembersihan Sungai Klang.

Amirudin, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Haijan Omar di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam dengan menamakan Muhammad Sanusi, 49, sebagai defendan.

Pada 9 Ogos lepas, Amirudin memfailkan notis tuntutan terhadap Muhammad Sanusi dan menuntut beliau membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam berhubung kenyataan berunsur fitnah dalam satu ucapan di Jitra, awal bulan ini.

Dalam notis tuntutan itu menyatakan, Muhammad Sanusi memfitnah kononnya pengerusi Pakatan Harapan Selangor itu dan pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan mahu melaksanakan projek bernilai RM10 bilion di Sungai Klang serta ahli perniagaan itu akan menerima 600 ekar (243 hektar) tanah percuma.

Justeru plaintif dalam saman itu menuntut ganti rugi, am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan, serta perintah injunksi untuk menghalang Sanusi daripada mengulangi dakwaan itu.

Sementara itu, peguam plaintif, Haijan Omar ketika dihubungi Bernama mengesahkan pemfailan saman tersebut selain memaklumkan mahkamah menetapkan 3 Oktober depan untuk pengurusan kes.