- Iklan -
Berita

Loke puji bapa pemimpin Umno selepas kritik 'Malaysian Malaysia' DAP

Ini berlaku dua hari selepas Nur Jazlan Mohamed berkata orang Melayu masih trauma dengan slogan dan sentimen negara sekular yang diperjuangkan oleh DAP.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (kiri) dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (kiri) dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyampaikan pujian dalam lagu yang didedikasikan kepada bapa Nur Jazlan Mohamed hanya dua hari selepas pemimpin Umno itu mengkritik, "Malaysian Malaysia", slogan DAP yang dikatakan menjadi halangan untuk menarik pengundi Melayu menyokong kerajaan campuran.

Loke mengulas berita Nur Jazlan mengenang bapanya Mohamed Rahmat, yang dua kali berkhidmat sebagai menteri penerangan ketika di bawah pentadbiran 22 tahun bekas perdana Dr Mahathir Mohamad.

Nur Jazlan antara lain berkata lagu Setia, lagu patriotik yang sering disiarkan di media penyiaran kerajaan, adalah antara legasi bapanya.

“Dia menulis lirik dan meminta komposer untuk menyesuaikan melodi dengan lirik itu," kata Nur Jazlan memetik laporan Malaysiakini.

Loke, yang baru-baru ini menyanyikan sendiri lagu itu, berkata lagu itu, yang dilancarkan selepas kegawatan dalam Umno yang menyebabkan Mahathir kehilangan sokongan Melayu yang ketara, sentiasa menjadi lagu patriotik kegemarannya.

“Mereka yang membesar pada tahun 1980-an pasti mengenali lagu ini dengan baik dan saya rasa ia antara lagu patriotik terbaik pernah ditulis. 

“Liriknya sangat sesuai dan saya fikir ia mencerminkan pembinaan negara yang bersatu padu.”

DAP menggunakan lagu itu menjelang pilihan raya umum 2018, ketika parti itu menjalinkan kerjasama dengan Mahathir untuk menamatkan pemerintahan 60 tahun Barisan Nasional (BN).

Pujian Loke untuk lagu Setia hadir dua hari selepas Nur Jazlan menyebut slogan "Malaysian Malaysia" DAP dan memperjuangkan negara sekular sebagai sebab utama kerajaan campuran masih tidak dapat meyakinkan orang Melayu untuk menyokongnya.

“Sepanjang pemerhatian saya secara langsung dan tak langsung, ketika duduk bersembang dengan kawan-kawan serta ahli Umno sendiri, saya dapat rasakan orang Melayu sejak puluhan tahun lalu tak boleh masih trauma dengan sentimen negara sekular dan Malaysia Malaysian yang diperjuangkan oleh DAP,” kata ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu pada 30 Ogos.

Beliau berkata orang Melayu boleh menerima MCA kerana ia "tidak ekstrem" dan Umno jadi parti dominan dalam BN.

“Berbeza dengan DAP, mereka kata tak boleh terima agenda sekular dalam parti itu. 

“Sebab memang bertentangan sama sekali dengan syariat Islam dan Melayu,” katanya, sambil menambah DAP harus menggugurkan agenda negara sekular dan Malaysian Malaysia.

“Sebab dua agenda itulah yang jadi terus jadi trauma kepada orang Melayu dan buatkan mereka tak boleh terima perjuangan DAP,” katanya.