- Iklan -
Berita

Fahmi jamin media tidak dilayan dengan pendekatan kuku besi

Menteri komunikasi dan digital itu bagaimanapun menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan laporan yang berunsur fitnah dan tidak tepat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa media tidak akan dilayan secara kuku besi oleh kerajaan.

Beliau berkata kerajaan berpegang teguh dengan prinsip untuk mempertahankan hak dan kebebasan media dalam membuat pelaporan namun tetap menegaskan ia tidak akan berkompromi terhadap laporan fitnah dan tidak tepat.

Sebagai contoh, katanya baru-baru ini ketika Pilihan Raya Negeri (PRN), ada laporan berita yang telah diterbitkan sebuah media tersohor menyatakan kononnya ada seorang ahli politik telah ditahan oleh pihak polis tetapi setelah disemak, terbukti perkara itu palsu.

“Jadi perkara-perkara seperti ini, harapan saya ialah supaya rakan-rakan media dapat berbincang untuk memastikan ia tidak berulang kerana dalam membuat pelaporan bagi mana-mana berita, menjadi yang pertama dalam mendapatkan berita sama penting dengan untuk mendapatkan fakta yang betul. 

Jaminan saya, kita (kerajaan) tidak akan bersifat kuku besi. Itu jaminan yang diberikan kepada rakan-rakan media,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kita MADANI Aspirasi Malaysia 2023 peringkat Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pusat Komuniti Pantai Eco Park di Kuala Lumpur, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Reporters Without Borders (RSF) supaya kerajaan serta  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghentikan amalan menyekat laman sesawang portal-portal berita yang dikatakan tidak prokerajaan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata keadaan dan kebebasan media di bawah kerajaan sedia ada jauh lebih baik berbanding pentadbiran dahulu kerana sepanjang beliau menjadi menteri, belum ada seorang wartawan  yang ditahan oleh pihak polis serta tidak ada syarikat akhbar ditutup.

Malah untuk kebaikan media, Fahmi juga berkata kerajaan berusaha untuk menggubal segera Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia yang diharapkan dapat menjadi platform untuk membincang isu  melibatkan etika pelaporan, disiplin dan kebajikan.

Ditanya mengenai sambutan rakyat terhadap Pakej 5G Rahmah, Fahmi berkata beliau belum menerima maklumat terperinci daripada MCMC dan syarikat telekomunikasi (telco) terlibat namun berdasarkan maklum balas di akar umbi, rakyat menunjukkan minat yang tinggi. 

“Saya difahamkan minggu ini ada lebih kurang 47,000 set telefon bimbit (jenama Samsung dan Honor)  akan tiba di Malaysia untuk diagihkan ke semua pusat pengagihan telco masing-masing dan pihak telco juga memaklumkan bahawa ia mencukupi namun akan memantaunya demi memastikan peranti itu terus mencukupi,” katanya.

Pakej 5G Rahmah membolehkan orang ramai mendapatkan akses perkhidmatan 5G berserta telefon pintar berharga tidak melebihi RM240.

 Pakej itu juga hadir bersama pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60 gigabit (GB) serta tertakluk kepada kontrak langganan selama 24 bulan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi