DAP menggesa Peguam Negara yang akan bersara Idrus Harun menjelaskan langkah kerajaan menggugurkan 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Dalam respons lewat malam berikutan kecaman rakyat Malaysia di media sosial, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata Idrus harus menjelaskan secara terbuka faktor-faktor yang menyebabkan tindakan Jabatan Peguam Negara memohon supaya presiden Umno itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
“Penjelasan ini adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam catatan Facebook lewat tengah malam.
Beliau berkata permohonan DNAA adalah prerogratif peguam negara untuk “menamatkan prosiding sementara membuat siasatan lebih terperinci”.
Berita pembebasan Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah terhadapnya, disambut kemarahan dan kejutan dengan ramai yang mengingatkan bahawa terdapat kes prima facie pada permulaan perbicaraan tahun lepas.
Zahid berdepan 47 pertuduhan: 12 pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, yang baru bulan lepas dilantik menggantikan Raja Rozela Raja Toran selepas secara tiba-tiba mengumumkan untuk "bersara awal", memaklumkan hakim Collin Lawrence Sequerah mengenai permintaan Jabatan Peguam Negara untuk memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid.