- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen DAP beri amaran kumpulan pelajar 'konservatif' akan sokong garis panduan konsert kampus

Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui menggesa agar garis panduan itu dibatalkan sepenuhnya, mengatakan sekatan terhadap pakaian dan percampuran jantina adalah bertentangan dengan kebebasan pelajar.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui.
Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui.

Seorang ahli Parlimen DAP menolak cadangan garis panduan untuk menganjurkan konsert di kampus, mengatakan sekatan ke atas pakaian penghibur dan mengelakkan percampuran antara lelaki serta perempuan akan menyekat kebebasan pelajar. 

Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui berkata meskipun kerajaan berkata universiti bebas untuk menghasilkan garis panduan mereka sendiri, namun cadangan itu kemungkinan akan diterima pakai oleh kesatuan pelajar yang menurutnya cenderung kepada konservatisme. 

"Selain itu, memandangkan pengaruh konservatif menyerap masuk dalam kebanyakan kesatuan pelajar, mengapa mereka perlu menolak garis panduan konservatif itu?" soal beliau.

Chow berkata cadangan garis panduan mengenai pengasingan tempat duduk mengikut jantina, sekatan pakaian untuk artis, dan sentuhan fizikal antara penghibur lelaki dan wanita menjadi punca kebimbangan.

Beliau berkata konsep "Malaysia Madani" harus memupuk "kepelbagaian dan kemajuan", dan memberi amaran mewujudkan "garis panduan yang tidak perlu" untuk konsert kampus "akhirnya akan menjejaskan penyokong setia kerajaan".

“Ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) pernah menjadi aktivis mahasiswa yang ditindas oleh Auku,” katanya merujuk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti. 

"Oleh itu, mereka tidak seharusnya membebankan pelajar ketika ini dengan sekatan yang sama."

Set garis panduan baharu itu sepatutnya dikeluarkan oleh Jabatan Pengajian Tinggi, hanya untuk Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin yang kemudiannya mengatakan ia belum diluluskan pihaknya.

Beliau berkata universiti sebaliknya perlu melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar atau Kesatuan Mahasiswa untuk merangka peraturan membenarkan konsert di kampus. 

Draf garis panduan yang bocor itu antara lain menyatakan penganjur konsert mesti mengasingkan tempat duduk untuk penonton lelaki dan wanita, dan yang berkeluarga.

"Setiap penganjuran aktiviti dan program berbentuk konsert perlu mendapat kelulusan penganjuran aktiviti daripada jawatankuasa peringkat Majlis Perwakilan Pelajar atau Kesatuan Mahasiswa terlebih dahulu," menurut dokumen itu. 

Penganjur konsert juga bertanggungjawab memastikan persembahan tarian "tidak menyinggung perasaan", genre muzik sesuai, dan lirik lagu tidak menyentuh sensitiviti masyarakat, menurut dokumen itu.