- Iklan -
Berita

BN, PN jangka umum calon PRK Pelangai seminggu sebelum hari penamaan

Pengundian untuk pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 7 Oktober, dengan pengundian awal pada 3 Oktober.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motosikal melintasi jambatan di Dengkil yang dihiasi dengan bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, menjelang pilihan raya Selangor pada 12 Ogos lalu.
Seorang penunggang motosikal melintasi jambatan di Dengkil yang dihiasi dengan bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, menjelang pilihan raya Selangor pada 12 Ogos lalu.

Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan calon masing-masing bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam tempoh seminggu sebelum hari penamaan calon pada 23 September ini. 

Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata pengumuman calon mereka akan dibuat pada 17 September atau mungkin lebih awal selepas dimuktamadkan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. 

"Setakat ini, kita mempunyai enam calon berpotensi dan kita akan tengok siapa lebih layak. Calon yang ada sudah pasti berkaliber, berwibawa dan diterima masyarakat setempat. Jadi, kita akan pilih calon yang terbaik," katanya. 

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Cheka di Jerantut dekat Kuantan, dan Majlis Meraikan Pengekalan Man and Biosphere (MAB) Unesco Tasik Chini di Kuantan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS  Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu akan mengumumkan calon daripada PAS yang akan mewakili PN bagi PRK DUN Pelangai pada 20 September dalam majlis yang dijadualkan berlangsung di Bentong. 

"Kita ada menghantar tiga nama kepada Majlis Syura Ulama PAS untuk dipertimbangkan dan dimuktamadkan," kata Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cheka semasa ditemui selepas tamat Persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini. 

PRK DUN Pelangai diadakan ekoran kematian penyandangnya Johari Harun, 53, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Pahang, akibat nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas. 

Pesawat itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Selangor, dan nahas mengorbankan semua lapan individu di dalam pesawat selain masing-masing seorang pemandu kereta e-hailing dan penghantar makanan yang melalui jalan itu semasa kejadian. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Okt ini, manakala 3 Okt sebagai hari mengundi awal. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, Johari yang bertanding mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN Kasim Samat yang memperoleh 3,260 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri mendapat 2,031 undi dan calon Pejuang Isa Ahmad meraih 65 undi. 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi