- Iklan -
Berita

Peguam negara ada kuasa kendalikan kes itu, kata Anwar berhubung pembebasan Zahid

Perdana menteri menafikan sebarang campur tangan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri sesi permukiman pada Sidang Kemuncak Asean ke-43 di Jakarta, Indonesia, 5 September. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri sesi permukiman pada Sidang Kemuncak Asean ke-43 di Jakarta, Indonesia, 5 September. Gambar: Reuters

Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan berhubung keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, daripada semua 47 pertuduhan dihadapinya.

Perdana menteri berkata peguam negara mempunyai kuasa sepenuhnya dalam mengendalikan kes tersebut.

“Jaksa agung (peguam negara) ada wewenang (kuasa) sepenuhnya dan diberikan alasan-alasan. Saya berikan wewenang kepada jaksa agung, kerana dia bicara tentang 200 halaman permohonan baharu oleh Zahid.

“Ini keputusan jaksa agung jadi saya tidak campur,” katanya apabila ditanya media tempatan mengenai isu tersebut selepas Program Temu Anwar di sini malam ini.

Ketika ditanya sama ada keputusan tersebut akan memberi persepsi tidak baik terhadap kerajaan, Anwar berkata ia tidak menjejaskan kredibiliti kerajaan dan menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya yang keras membanteras rasuah. 

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu, selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

Zahid sebelum ini menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari lepas, manakala yang terbaru, lengkap dengan fakta dan bukti baharu, dihantar kepada AGC pada Februari.