- Iklan -
Berita

8,000 MyKad hilang setiap tahun, kata JPN

Jabatan Pendaftaran Negara berkata keadaan itu membimbangkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail orang ramai menunggu giliran di salah sebuah cawangan Jabatan Pendaftaran Negara. Gambar: Bernama
Gambar fail orang ramai menunggu giliran di salah sebuah cawangan Jabatan Pendaftaran Negara. Gambar: Bernama

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati sekitar 8,000 kes kehilangan kad pengenalan (MyKad) direkodkan di seluruh negara setiap tahun, sejak kira-kira lima tahun lepas.

Ketua Pengarah JPN Zamri Misman berkata walaupun jumlah tersebut hanya mewakili 4% daripada 200,000 pendaftaran MyKad setahun, kes kehilangan MyKad di negara ini tetap membimbangkan. 

“Antara alasan paling banyak diberikan ialah salah letak yang berpunca daripada kesalahan sendiri. Kadang-kadang mereka (pemilik MyKad) pergi bercuti dan tinggalkan MyKad (di merata tempat),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Kampung Telaga Daing, di Kuala Nerus hari ini.

Zamri berkata selain dikenakan denda hingga RM1,000, individu yang kehilangan MyKad juga berdepan risiko dokumen pengenalan diri milik mereka itu disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Justeru, beliau menyeru masyarakat agar menjaga sebaik mungkin MyKad mereka dan segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya kehilangan dokumen tersebut. 

“Saya pohon sekiranya hilang MyKad segera lapor kepada polis dan datang ke JPN untuk kita bantu. Kita bimbang ada orang lain akan gunakannya nanti,” katanya.

Terdahulu dalam Program Mekar anjuran JPN  itu, warga emas Abdul Wahab Saleh, 71, yang berstatus warganegara menerima MyKad yang disampaikan sendiri oleh Zamri.

Zamri berkata Wahab yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori lembam sebelum ini tidak pernah mempunyai MyKad, hanya memiliki sijil kelahiran bertaraf warganegara.

“Beliau (Wahab) tidak pernah berkahwin dan tiada tempat kediaman tetap serta hidup menumpang dengan saudara-mara. 

“Usaha mendapatkan kad pengenalan dibuat oleh anak saudaranya pada Mei lepas berikutan kesukaran pembiayaan kos rawatan kesihatan di hospital dan keperluan mendapatkan bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana beliau tidak mempunyai MyKad,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.