- Iklan -
Berita

Cabaran doktor bedah tambah suara pembangkang di DUN Johor

Dr Mohd Mazri Yahya berharap dapat mengukuhkan suara pembangkang di negeri ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Calon Perikatan Nasional bagi Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya, bercakap dalam wawancara dengan MalaysiaNow.
Calon Perikatan Nasional bagi Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya, bercakap dalam wawancara dengan MalaysiaNow.

Dr Mohd Mazri Yahya bukan seorang yang asing dalam gelanggang pilihan raya.

Beliau sudah bertanding beberapa kali namun nasib tidak bersama timbalan pesuruhjaya PAS Johor itu.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Mazri yang juga doktor bedah sekali lagi diberi peluang untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Katanya PN mampu berfungsi sebagai pembangkang yang lebih kuat jika beliau berjaya menang.

"Di Johor ini unik. Walaupun di pusat mereka mempromosikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), di Johor penglibatan PH dalam kerajaan negeri sangat minima, termasuk lantikan ketua-ketua kampung,” katanya dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow.

"Dalam DUN, kedudukan PH masih atas pagar. Kita tak tahu sama ada mereka bersama kerajaan atau pembangkang.”

Mazri berkata, PN memainkan peranan pengimbang dan tambahan satu kerusi untuk pembangkang akan menguatkan suara mereka.

PRK Simpang Jeram diadakan pada 9 September ini selepas penyandang Salahudin Ayub yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup meninggal dunia pada Julai lepas.

Ia diadakan serentak dengan PRK Pulai yang turut disandang sebelum ini oleh Salahuddin.

Timbalan presiden Amanah itu menang kerusi Simpang Jeram dengan 8,749 undi, mengalahkan calon PN, Zarul Salleh yang mendapat 6,350 dan calon BN, Lokman Md Don dengan 6,062 undi.

Simpang Jeram terletak di bawah Parlimen Bakri yang dimenangi PH.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor tahun lepas, Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi.

PH dan Muda memenangi 13 manakala PN hanya mempunyai tiga kerusi.

Selepas pembentukan kerajaan campuran di peringkat pusat, kedudukan PH dan Muda bagaimanapun masih samar-samar, tidak seperti negeri lain yang mana mereka membentuk satu blok yang sama.

Pada PRK kali ini, Mazri akan berentap dalam persaingan tiga penjuru melawan calon PH, Nazri Abdul Rahman dan calon bebas, S Jeganathan.

Simpang Jeram mempunyai kira-kira 52% pengundi Melayu dan bakinya pengundi bukan Melayu.

Hala tuju pengundi Umno

Katanya, pengundi Umno juga menjadi fokus PN untuk merampas negeri tersebut.

Sokongan dari pengundi Umno sebelum ini dapat dilihat dalam ketika gelombang PN yang berjaya menambah kerusi di negeri-negeri sukar ditembusi gabungan itu pada enam PRN baru-baru ini.

"Daripada undi Umno, ada tiga golongan iaitu 70% berpihak kepada PN, 20% masih atas pagar dan mungkin tidak keluar mengundi, dan 10% kekal bersama Umno."

Selain itu, menurut Mazri keputusan lepas tanpa bebas (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang mencetuskan kontroversi Isnin lepas dilihat berpotensi untuk menghayun undi kepada PN kali ini.

"Apa yang dilakukan Zahid ialah menyelamatkan dirinya berbanding membela nasib Najib Razak yang masih dipenjara," katanya merujuk kepada bekas perdana menteri itu.

Isu pengguguran kes rasuah Zahid juga dilihat penting bagi gabungan itu mendapatkan undi golongan bukan Melayu yang masih menyokong PH.

Mazri semalam pada Rabu mengumumkan tawaran beliau untuk Simpang Jeram yang menumpukan kepada peluang anak muda dalam pendidikan dan perniagaan, selain masalah infrastruktur yang terabai.

Cabaran PN

Kajian Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini mendapati calon PH lebih popular di Simpang Jeram. Bagi Mazri, ia satu maklum balas kepada dirinya.

"Satu-satu kaji selidik kadang-kadang berbeza dapatannya dengan kaji selidik yang lain.

"Penerimaan masyarakat di lapangan jauh lebih tinggi daripada yang dipetik dalam kajian berkenaan," katanya.

Mazri yang pernah hilang deposit ketika bertanding di Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-14 berkata, sokongan kepada PN jauh meningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini, termasuk jika dibanding dengan PRN 2022.

Mengulas mengenai faktor menteri besar yang popular di Johor, Mazri berkata beliau berharap dapat bekerjasama dengan Onn Hafiz Ghazi meskipun berada dalam blok berbeza.

"Misi saya untuk menyatupadukan semuanya dalam satu pakatan. Sepatutnya kembali kepada Muafakat Nasional.

"Saya gembira jika dapat bekerjasama dengan beliau demi kepentingan Bangsa Johor."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.