- Iklan -
Berita

Media bebas hanya modal kempen PH, kata wartawan veteran

A Kadir Jasin berkata ia tidak pernah menjadi komitmen ideologi untuk gabungan itu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan Pakatan Harapan menggantung bendera parti di Taman Melawati, Hulu Kelang menjelang kempen Pilihan Raya Negeri Selangor pada Ogos lalu.
Sukarelawan Pakatan Harapan menggantung bendera parti di Taman Melawati, Hulu Kelang menjelang kempen Pilihan Raya Negeri Selangor pada Ogos lalu.

Pakatan Harapan (PH) hanya menggunakan isu kebebasan media sebagai modal kempen demi kepentingan politik mereka, kata wartawan veteran, A Kadir Jasin.

Beliau berkata, hakikat  sebenarnya PH tidak pernah bersungguh-sungguh atau serius untuk melaksanakannya atau memberikan kebebasan kepada media seperti yang dilaungkan sebelum ini.

“Kebebasan media sebagai modal kempen tapi ia bukan komitmen ideologi yang serius dan mendalam PH,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Apabila jadi kerajaan mereka dapati kebebasan media adalah pedang dua mata.”

Beliau berkata, faktor itu menyebabkan tindakan PH terhadap media yang tidak berpihak kepada kerajaan begitu keras sehingga menyekatnya.

Sekatan keras terhadap media itu katanya, hanyalah sebagai satu tindakan terdesak PH untuk menutup kelemahan dan kegagalan mentadbir negara.

“Toleransi mereka kurang kerana tidak banyak berita baik untuk dihidangkan media sejak mereka memerintah sembilan bulan lepas.

“Mereka juga berang dengan keputusan Pilihan Raya Negeri 12 Ogos lepas yang tidak sebaik mereka harapkan dan uar-uarkan," kata Kadir yang pernah menjadi ketua pengarang kumpulan New Straits Times.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam satu kenyataan pada 1 September menegaskan tindakan yang diambil terhadap organisasi media yang tidak bertanggungjawab bukan untuk menyekat kebebasan media, tetapi "bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab dan tanpa menyebarkan fitnah ataupun maklumat yang kurang tepat”.

Tindakan kerajaan itu mengundang kecaman daripada pelbagai pihak antaranya pemantau media global Reporters Without Borders (RSF) dan kumpulan wartawan kanan yang menyatakan kebimbangan terhadap gelombang sekatan baru-baru ini oleh pihak berkuasa yang dikatakan dilakukan tanpa sebarang penjelasan atau tindakan undang-undang, terhadap laman berita yang mengkritik kerajaan. 

Kumpulan wartawan kanan pula memberi amaran kepada suruhanjaya itu supaya tidak memainkan peranan sebagai “Big Brother” dalam berdepan dengan media bebas.

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) turut mengkritik SKMM dengan berkata PH juga pernah menentang Akta Antiberita Palsu yang digubal oleh pentadbiran terdahulu di bawah Najib Razak.

NGO nafi membisu

Turut dikritik ialah badan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini memperjuangkan kebebasan bersuara kerana tidak begitu lantang membantah tindakan anti demokratik kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, NGO seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) menafikan mereka tidak lagi lantang dalam memperjuangkan isu kebebasan media.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraismy berkata Suaram sentiasa konsisten menyuarakan isu melibatkan ketidakadilan seperti kebebasan media.

“Pihak yang mempertikaikan itu maksudnya mereka tak baca kenyataan daripada kita.

“Perlu tahu juga kebebasan media bukan bidang utama kita. 

“Tapi Suaram sentiasa konsisten mengeluarkan pandangan dan kebimbangan kita tentang isu kebebasan media,” katanya. 

Beliau berkata Suaram tidak pernah bersetuju dan mengutuk sekatan yang dilakukan SKMM atas alasan mengawal daripada penyebaran berita palsu.

Katanya, tindakan SKMM tidak demokratik dan jalan singkat kerajaan daripada menangani isu-isu yang dibangkitkan.

“Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menjawab kritikan dan bukanya menyekat,” katanya.

Aktivis Geramm, Radzi Razak turut senada berkata perjuangan badan itu tetap sama menyuarakan isu kebebasan media 

“Kami tak pernah diam bercakap mengenai hak media,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi