- Iklan -
Berita

Pemimpin Amanah berdepan tuduhan serangan seksual dilepas tanpa bebas

Faiz Fadzil dilepas tanpa dibebaskan atas permintaan pihak pendakwaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas Adun Pulau Pinang Faiz Fadzil. Gambar: Facebook
Bekas Adun Pulau Pinang Faiz Fadzil. Gambar: Facebook

Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) seorang pemimpin Amanah yang berdepan pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita. 

Majistret Mohamad Suffian Jaafar membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memberikan penghakiman DNAA kepada Faiz Fadzil, bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang yang baru dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. 

Faiz, 46, yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada Pilihan Raya Negeri baru-baru ini, dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, undang-undang yang menetapkan kesalahan berhubung penggunaan kekerasan untuk memalukan kesopanan seseorang.

Pertuduhan itu boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Dengan penghakiman DNAA, wang jaminan Faiz sebanyak RM10,000 turut dikembalikan.

Pada Mac 2021, MalaysiaNow melaporkan seorang wanita berusia 31 tahun membuat laporan di balai polis Subang Jaya mendakwa ahli politik itu cuba mencabulnya.

Wanita tersebut berkata dia pertama kali bertemu ahli politik itu pada Januari, diikuti dengan pertemuan kedua ketika mereka keluar makan malam untuk meraikan hari kelahirannya.

Katanya, dia bersetuju untuk keluar bersamanya kerana dia "berasa terhormat".

Bagaimanapun, dia mendakwa lelaki itu cuba memegang tangannya, “meraba”, dan “memeluk” tubuhnya di dalam sebuah kereta serta mengingatkannya agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian berkenaan.

Wanita itu berkata emosinya "tertekan" sejak kejadian itu. 

Faiz, anak kepada bekas presiden PAS Fadzil Noor, bagaimanapun menafikan dakwaan itu. 

Dalam maklum balasnya hari ini, pengadu Yuslaini Azmi melahirkan rasa terkejut dengan keputusan itu, mengatakan dia tidak dimaklumkan mengenainya.

"Hari ini saya dapat makluman dari pekerja sosial WAO (Women's Aid Organisation) menyatakan kes saya DNAA, nampaknya ada campur tangan politik juga memandangkan pihak mahkamah ada menyatakan tentang permohonan dari pihak defendan tarik kes tetapi saya tidak menerima apa-apa surat sehingga kini," katanya, sambil memuat naik tangkap layar mesej WhatsApp di Facebooknya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi