Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memfailkan saman fitnah terhadap pengulas politik Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, serta dua individu lain berhubung dakwaan mengenai ucapan yang disampaikannya di sebuah masjid di Rawang, Selangor.
Dua lagi defendan adalah penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani dan pemilik akaun Facebook "N13 Kuang", Mohd Fauzan Madzlan.
Saman itu difailkan pada 5 September di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam pernyataan tuntutannya, Fahmi berkata ketiga-tiga mereka menerbitkan perkataan berbaur fitnah dengan menuduhnya menyalahgunakan masjid untuk kempen pilihan raya negeri yang bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Katanya, dakwaan itu tidak berasas, menyebut Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengesahkan l beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik.
Fahmi sudah menghantar surat tuntutan kepada ketiga-tiga individu tersebut supaya menarik balik kenyataan fitnah berkenaan, menyiarkan permohonan maaf serta membayar ganti rugi namun sehingga kini mereka gagal berbuat demikian.
Beliau juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.
Mengikut peraturan semasa, hanya individu yang diberi tauliah oleh Mais dibenarkan menyampaikan ucapan, syarahan, khutbah, atau mengajar di masjid dan surau di Selangor.
Namun, Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof berkata siasatan pihaknya mendapati, pengarah komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu hanya menyatakan tentang isu semasa dan bukan berkaitan isu politik.
“Dia tidak sebut politik dalam masjid, pada pandangan saya (isu ini) selesai. Dia datang mahu solat, dia cari masjid dan surau berdekatan.
“Sebagai menteri dia jawablah dengan jelas soalan yang ditanya jemaah,” kata Aziz.