Bekas Menteri Besar Perlis Azlan Man akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengkaji 10 pertuduhan membuat tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
Peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah menerima dokumen berkaitan kes tersebut daripada pihak pendakwaan dan sedang menelitinya bagi melengkapkan representasi.
“Kami mohon lanjutan masa untuk melengkapkan representasi. Sehubungan itu, kami mohon 10 November sebagai tarikh pengurusan kes untuk kami maklumkan kepada mahkamah mengenai status representasi," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai mengesahkan dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pasukan pembelaan dan tidak membantah tarikh pengurusan kes yang dipohon pembelaan.
Hakim Azura Alwi memberikan lanjutan masa selama dua bulan untuk pihak pembelaan melengkapkan representasi tersebut.
“Saya menetapkan 10 November untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak maklumkan mengenai perkembangan representasi. Sekiranya tiada sebarang perkembangan lanjut pada tarikh itu (10 November), kedua-dua pihak perlu bersedia dengan tarikh perbicaraan,” katanya.
Pada 10 April lepas, Azlan, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta, yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, di Kangar, antara Disember 2013 hingga Disember 2017.
Bagi semua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 12 April lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di Kuala Lumpur, antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 9 Jun lepas, Azura membenarkan kesemua pertuduhan tersebut dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.