- Iklan -
Berita

Akhirnya bersuara isu bebas Zahid, Majlis Peguam bidas Jabatan Peguam Negara

Presiden Majlis Peguam Karen Cheah menyelar Jabatan Peguam Negara kerana mengaitkan pembebasan itu sebagai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn. Gambar: Facebook
Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn. Gambar: Facebook

Majlis Peguam akhirnya bersuara berhubung pembebasan Ahmad Zahid Hamidi atas pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya malam tadi, menyelar justifikasi yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara untuk memohon supaya timbalan perdana menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September.

Presiden Majlis Peguam Karen Cheah berkata kenyataan Jabatan Peguam Negara pada 5 September yang mengatakan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan berdasarkan alasan "kukuh" yang dikemukakan pihak pendakwaan adalah "sama sekali tidak mempunyai justifikasi yang sewajarnya berhubung mengapa ia memohon DNAA".

Beliau menambah langkah itu menyebabkan Sequerah tiada pilihan selain memutuskan DNAA atau pembebasan penuh. 

"Oleh itu, tidaklah benar bagi Jabatan Peguam Negara untuk mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes itu kepada Mahkamah Tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataan media, dan bukannya memberikan penjelasan terperinci," katanya.

Jabatan Peguam Negara berkata Sequerah yakin dengan hujah yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

“Semasa membuat keputusan tersebut, hakim menyatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh," katanya dalam satu kenyataan, menjawab dakwaan yang menyifatkan keputusan itu sebagai tidak bermoral.

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Beliau diberi penghakiman DNAA selepas timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar, yang dilantik bulan lepas menggantikan Raja Rozela Raja Toran yang secara tiba-tiba mengumumkan untuk "bersara awal", memaklumkan Sequerah tentang permintaan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadap Zahid.

Cheah berkata terdapat kes sebelum ini di mana pertuduhan jenayah terhadap "ahli politik tertentu" digugurkan oleh Jabatan Peguam Negara ketika perbicaraan sedang berjalan, dilaporkan mengikut "arahan" atau berpunca daripada surat representasi.

"Kes-kes ini diklasifikasikan sebagai 'kes berprofil tinggi' kerana ia melibatkan kepentingan negara dan awam terutamanya disebabkan oleh sejumlah besar wang yang didakwa diselewengkan oleh individu yang mempunyai kedudukan dan kuasa," katanya. 

Sambil menyatakan surat representasi pertama dikemukakan oleh pihak pembelaan pada Disember 2022, beliau berkata ini adalah lebih tiga tahun selepas kes itu bermula di Mahkamah Tinggi, dan selepas pelantikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kabinetnya. 

Beliau juga mengambil maklum mengenai permintaan Raja Rozela yang dilaporkan mahu "bersara awal" pada April, dan langkah untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam negara Idrus Harun yang masing-masing tamat pada 10 Mei dan 6 Mac. 

"Tarikh ini, perkembangan insiden, dan pelakon dalam peranan masing-masing, mencetuskan kekecohan dalam kalangan rakyat," katanya.

Beliau juga mengkritik tindakan melepas tanpa membebaskan Zahid selepas kira-kira 77 hari perbicaraan dan wujud kes prima facie terhadapnya, menyifatkannya sebagai "tidak manis" untuk didengar. 

"Majlis Peguam menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara mencemarkan reputasi dan kredibilitinya sendiri sebagai pihak pendakwa, dan SPRM sebagai badan penyiasat, apabila ia memohon DNAA ketika kes prima facie telah dapat diwujudkan oleh ketua pendakwa raya sebelum ini," katanya merujuk kepada Raja Rozela.

“Majlis Peguam menjangkakan bahawa budi bicara dan keadilan akan diguna pakai, dan trend tidak sihat akan berterusan – terutamanya dalam kes 1MDB yang sedang berlangsung, perbicaraan yang sedang dihadapi oleh bekas perdana menteri Najib Razak, dan isterinya Rosmah Mansor, di mana beliau berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri."