- Iklan -
Berita

‘Kos sara hidup’ terus jadi kegusaran utama menjelang PRK Simpang Jeram

Mereka berkata semakin ramai yang merungut tentang kenaikan kos barangan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motosikal melintasi deretan bendera Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan yang dipacak di tepi jalan menjelang pilihan raya kecil Simpang Jeram.
Seorang penunggang motosikal melintasi deretan bendera Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan yang dipacak di tepi jalan menjelang pilihan raya kecil Simpang Jeram.

Sehari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, kos sara hidup terus mendominasi pemikiran penduduk di kawasan utara Johor itu, walaupun kerajaan mendakwa berjaya menguruskan masalah kenaikan kos sara hidup.

Seorang peniaga air balang, Muhd Zaki Abd Ghani berkata, kekuatan kewangan orang ramai menjadi kegusaran untuk perniagaannya yang semakin tidak menentu.

“Harga barang banyak naik, saya pula orang meniaga jadi memang terjejas sedikit. 

"Isu lain pada saya okay sahaja," katanya ketika ditemui MalaysiaNow. 

Menjelang PRK, dia yang sudah beberapa tahun berniaga berharap agar wakil rakyat kawasan itu dapat memberikan sokongan kepada perniagaan yang terjejas. PRK Simpang Jeram menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mazri Yahya, calon Pakatan Harapan (PH), Nazri Abdul Rahman dan calon bebas, S Jeeganathan.

Ia diadakan ekoran kematian penyandang, Salahudin Ayub yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, Salahudin menang dengan 8,749 undi, menewaskan calon Perikatan PN, Zarul Salleh yang mendapat 6,350 undi dan calon Barisan Nasional (BN) Lokman Md Don yang menerima 6,062 undi.

Muhammad Amir Ihsan.
Muhammad Amir Ihsan.

Seorang imam di Taman Sri Bakri 3, Muhammad Amir Ihsan berkata, masalah harga barang sememangnya diperkatakan penduduk.

“Hari ini beras dikatakan naik sehingga RM30 sekampit. Pendapatan orang kampung sudah tentu terjejas.

"Jadi saya harap wakil rakyat dapat perjuangkan nasib dan masalah rakyat di dewan undangan," katanya.

Menurut Amir, masalah jalan raya di kawasan itu turut menjadi rungutan penduduk kerana sudah dua tahun permohonan pembalikan jalan dibuat namun tiada apa-apa perkembangan.

Seorang penduduk yang sedang menuntut di UiTM Jasin, Ammar Bakhtiar Aminudin pula berharap agar fasiliti riadah untuk orang awam disediakan.

"Isu di Simpang Jeram dan Muar lebih kepada isu setempat, contohnya tempat aktiviti riadah pada waktu petang yang tidak mencukupi.

“Anak-anak muda tiada tempat yang selesa untuk beriadah," katanya.

Ammar Bakhtiar Aminudin.
Ammar Bakhtiar Aminudin.

Memerhatikan kempen politik yang sedang berlangsung, Ammar berharap agar semua pihak berkempen secara matang dan tidak merendah-rendahkan pihak lawan.

Dia turut berharap agar tiada sentimen perkauman dimainkan kerana sentimen di Johor berbeza berbanding di negeri lain.

Sementara itu, seorang usahawan, Baharudin Mohamed yang mengusahakan gudang perabot berkata, isu-isu komuniti lebih dekat di hati penduduk berbanding isu nasional.

"Kita hendak cari makan pun bergantung kepada komuniti, hendak mati pun nanti orang komuniti juga (uruskan).

“Jangan ada Yang Berhormat di poster sahaja, sesiapa yang menang perlu dengar keluhan rakyat," katanya.

Menurut Baharudin, berdasarkan pengalamannya, Simpang Jeram mempunyai kelebihan dari segi industri dan perniagaan namun usaha harus digembleng untuk mendapatkan hasilnya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.