- Iklan -
Berita

Zahid mahu kerjasama akar umbi lebih baik antara BN, PH

Pengerusi Barisan Nasional itu berkata gabungannya akan terus mempertahankan kerajaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi menghadiri konvensyen DAP 2023 di Putrajaya. Gambar: Facebook
Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi menghadiri konvensyen DAP 2023 di Putrajaya. Gambar: Facebook

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu akan terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang mencerminkan wajah Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata pada masa sama beliau berharap hubungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) yang baharu terjalin dapat diperkukuhkan sehingga ke peringkat akar umbi.

“Ia bagi memangkin semangat perpaduan sekali gus memimpin negara dengan memberikan khidmat yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang menghadiri Persidangan DAP 2023 di Putrajaya bersama Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Sharkar Shamsudin semalam berkata beliau yakin parti itu bersungguh-sungguh untuk mengekalkan perpaduan negara ini.

“Saya melihat kesungguhan DAP untuk mengekalkan perpaduan negara ini dari dua ucapan daripada Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) dan Lim Guan Eng (Pengerusi Kebangsaan DAP).

“Ia juga diterjemahkan oleh para perwakilan yang saya temui setelah saya menjejakkan kaki ke dewan perhimpunan ini yang mahukan kestabilan politik untuk memangkin lebih kejayaan buat Malaysia,” katanya.