- Iklan -
Berita

Jabatan Peguam Negara gagal fail petisyen rayuan, mahkamah kekal bebas Najib berhubung kes pinda audit 1MDB

Pihak pendakwaan gagal membuat rayuan susulan dengan petisyen dalam tempoh 10 hari selepas memfailkan rayuan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak, diiringi anggota keselamatan pada perbicaraan mahkamah di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak, diiringi anggota keselamatan pada perbicaraan mahkamah di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Kegagalan pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan terhadap pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung kes meminda laporan audit 1MDB menyebabkan Mahkamah Rayuan membatalkan rayuan itu.

Jabatan Peguam Negara sebelum ini memfailkan rayuan terhadap pembebasan mereka pada Mac, tetapi gagal membuat rayuan susulan dengan petisyen dalam tempoh 10 hari. 

Keputusan itu disambut baik oleh peguam Najib, yang berkata ia membuktikan anak guam mereka serta Arul Kanda tidak bersalah, sambil menambah pertuduhan itu tidak sepatutnya dilakukan sejak awal lagi. 

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang berjuang untuk kebenaran dan menegakkan keadilan. 

“Kami sangat berharap keputusan muktamad ini membolehkan Najib dan Arul Kanda meneruskan kehidupan mereka, dibebaskan daripada tuduhan tidak berasas ini," kata Muhammad Farhan Shafee dari firma guaman Shafee & Co. 

Najib dan Arul Kanda didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan pindaan laporan audit kerajaan ke atas 1MDB pada Februari 2016.